ZAHID HAMIDI AKHIRNYA SEDIA UNTUK BERLAWAN, PENCABARNYA BOLEHLAH SEGERA BUKA BILIK GERAKAN


 Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi akhirnya bersuara dengan memberi komitmen sedia untuk dicabar bagi jawatan Presiden parti dalam pemilihan akan datang.

Tegasnya, dalam pemilihan sebelum ini pada 2018, beliau juga dicabar dua ahli parti tapi keputusannya masih memihak kepada beliau yang kemudiannya menyaksikannya memenangi pertandingan itu.

Bahkan, kata beliau, kombinasi undi dua pencabarnya ketika itu iaitu Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh Hamzah masih kurang berbanding undi diperolehinya.

“Dulu pun saya dicabar juga, dua orang cabar saya dan undi mereka masih kurang berbanding undi yang saya peroleh.

“Bukan nak riak, sombong dan takabur mahupun ujub, tapi itulah faktanya,” katanya lagi.

Serentak dengan itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan, kuasa untuk menentukan kepimpinan parti terletak kepada kuasa dan suara perwakilan parti di seluruh negara.

“Terdapat hampir 160,000 perwakilan yang mewakili cawangan-cawangan untuk menentukan sama ada mahu kepimpinan yang sedia ada atau kepimpinan yang berubah untuk pastikan UMNO terus relevan dalam pentas politik negara.

“Kuasa mutlak itu adalah kuasa perwakilan,” tambahnya.

Dengan penegasan sedia dilawan dan mahu menyerahkan nasibnya kepada perwakilan itu bererti boleh dikira berakhirlah sudah polemik sama ada perlu atau tidak pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dalam pemilihan akan datang ini.

Suara dan penegasan Presiden UMNO itu wajib dihormati dan ditaati sepenuhnya.

Penyokong dan pengampu Ahmad Zahid mesti serta-merta berhenti daripada memberi saranan dan mendesak agar dua jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan.

Jika Ahmad Zahid sendiri sudah menunjukkan keterbukaan dan keberanian untuk dilawan, tiada sebab bagi penyokong serta pengampu untuk tidak turut sama menjadi terbuka dan berani.

Kepada pencabar yang ingin berlawan dengan Ahmad Zahid pula, maka dengan ini bolehlah mula menggerakkan jentera kempen mereka dengan lebih agresif mulai sekarang.

Ini kerana pemilihan mungkin akan diadakan sebelum ketibaan Ramadan pada 23 Mac akan datang, tidak sampai tiga bulan saja lagi daripada sekarang.

Bilik gerakan di peringkat pusat dan negeri-negeri hendaklah mulai dibuka, bahkan duit-duit simpanan juga haruslah segera dikeluarkan.

Ingat, yang nak dilawan dan dijatuhkan adalah Ahmad Zahid yang berjawatan Timbalan Perdana Menteri, kalau setakat modal air liur dan belanja makan di kedai mamak saja, main jauh-jauhlah nak menang.

Sekurang-kurangnya kena belanja makan di hotel tiga bintang dan jumlah perwakilan pula hampir 160 ribu orang.

Kiralah sendiri berapa banyak duit belanja yang diperlukan, itu belum kira lagi elaun untuk jentera parti yang bergerak siang malam dan hampir tidak tidur serta meninggalkan anak isteri semata-mata untuk berkempen bagi pemimpin kesayangan mereka.

Masuk berlawan mesti nak menang, jika tidak, baik bagi Zahid Hamidi menang percuma saja.

Lu fikirlah sendiri…– ShahbudinHusin 05/01/2023.




No comments: