SEBELUM PRU TAK BOLEH BERTANDING, SELEPAS PRU PUN TAK BOLEH BERTANDING, HABIS…BILA YANG BOLEH?


 Sama ada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dibenarkan atau tidak dalam pemilihan tahun ini hanya akan diketahui esok.

Berikutan usul mengenainya telah dibentangkan dan terdapat pihak yang bersetuju serta tidak bersetuju berkaitan dengannya, perwakilan PAU2022 akan memutuskannya melalui undian.

Ahli MT UMNO, Dr. Puad Zarkashi mengesahkan esok adalah kata putus penentuan di tangan perwakilan tentang perkara itu.

Jika perwakilan bersetuju agar tiada pertandingan, maka tiadalah pertandingan bagi dua jawatan tersebut dan begitulah sebaliknya.

Mengimbas ke belakang seketika, UMNO sebelum ini telah berusaha sedaya upaya untuk menangguhkan pemilihan dengan alasan jika diadakan pertandingan sebelum PRU15, ia akan menyebabkan perpecahan serta mengurangkan peluang meraih kemenangan.

Usaha itu bukan saja dengan menangguhkan pemilihan selama 18 bulan daripada tarikh matang yang sepatutnya pada 2021, malah kemudian meminda perlembagaan UMNO yang menetapkan pemilihan hanya akan diadakan selepas enam bulan setelah setiap PRU dilangsungkan.

Kini PRU15 telah berakhir dan keputusan buruk yang menimpa UMNO telah banyak diperkata dan diperdebatkan.

Sepatutnya ketika ini, sambil menginsafi prestasi buruk daripada 54 kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU 2018 kepada hanya 26 kerusi pada PRU15 lalu, membenarkan pertandingan dan menukar “kepala ikan yang busuk” adalah pilihan yang terbaik untuk memulihkan semangat baru mendepani perjuangan masa depan.

Pasukan bolasepak profesional pun selepas kalah teruk biasanya akan menukar pengurus pasukannya.

Malangnya, selepas PRU15 betakhir pun pertandingan dan pemilihan pemimpin cuba dihalang sekali lagi.

Kalau begitu, baiklah haramkan saja pertandingan buat selama-lamanya dan Presiden hanya boleh ditukar setelah berlaku kematian.

Kiranya UMNO menang dengan cemerlang pada PRU15, logiklah juga jika mahu dihalang daripada diadakan pertandingan.

Ini tidak, dengan prestasi lebih buruk pula mahu dihalang pertandingan.

Tanah liat jenis apa ada dalam kepala gerombolan pengampu-pengampu UMNO ini?

Jika sebelum PRU tak dibenarkan bertanding, kemudian selepas PRU pun tak dibenarkan juga ada pertandingan…habis, bila masanya lagi mahu bertanding?

Sedarlah, jika tiada pertandingan pada pemilihan UMNO tahun ini dan Zahid Hamidi terus kekal sebagai Presiden, ini bermakna beliau akan terus mengetuai BN pada PRU16 akan datang.

Ini kerana pemilihan UMNO yang seterusnya hanya akan dilakulan dalam tempoh enam bulan selepas PRU16 dilangsungkan.

Daripada 54 kerusi dimenangi pada 2018 dan Zahid Hamidi hanya mampu membawa kemenangan 26 kerusi pada PRU15 lalu – cuba fikir sejenak – jika beliau lagi mengetuai parti, berapa kerusi UMNO boleh menang pada 2027 akan datang? – ShahbudinHusin 13/01/2023.