Memecat pemimpin untuk mengekalkan kuasa atau atas apa alasan sekali pun adalah perkara biasa di mana-mana saja di planet bumi ini.
Oleh itu, tindakan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi memecat dan menggantung beberapa pemimpin yang tidak sebulu dengannya sebagaimana diputuskan MT UMNO malam tadi bukanlah perkara yang pelik sebenarnya.
Terlebih lagi dalam UMNO, pecat memecat ini bukanlah sesuatu yang asing sejak dulu, kini dan mungkin selamanya selagi parti itu masih bernyawa.
Tun Mahathir Mohamad pernah memecat Anwar Ibrahim dan Najib Razak pernah memecat Mahiaddin Md Yasin.
Lama sebelum itu, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj juga pernah memecat Tun Mahathir.
Di luar UMNO pula, Mahiaddin sebagai Presiden Bersatu telah memecat Tun Mahathir selaku Pengerusi parti itu.
Di dalam Pas,PKR dan Amanah turut pernah berlaku pecat-memecat itu.
Cuma, tindakan PKR memecat Azmin Ali dan kumpulannya agak berbeza dengan semua pemecatan itu kerana ia hanya diambil Anwar setelah berlakunya pengkhianatan yang meruntuhkan sebuah kerajaan.
Betullah kata orang, Anwar ini “tahap dewa” sabar dalam dadanya.
Begitu pun, melihat tindakan pemecatan dan penggantungan oleh Zahid Hamidi malam tadi, harus diakui beliau adalah ketua parti yang luar biasa keberaniannya.
Beliau ternyata lebih hebat dan lebih luar biasa daripada semua Presiden UMNO lain yang juga pernah memecat orang sebelum ini.
Yang dipecat malam tadi ialah Khairy Jamaluddin serta Noh Omar, manakala yang digantung selama enam tahun adalah Hishammuddin Hussein, Fathul Bari, Shahril Hamdan, Maulizan Bujang dan Salim Sharif.
Daripada semua pemecatan dan penggantungan itu, hebat dan luar biasanya Zahid Hamidi adalah kerana keberaniannya bertindak terhadap Khairy Jamaluddin atau KJ serta kepada Hishammuddin.
KJ adalah menantu kepada Tun Abdullah Badawi, bekas Perdana Menteri yang mula-mula membawa Zahid Hamidi ke dalam kerajaan dengan jawatan pertama yang diberikannya kepada Ahli Parlimen Bagan Datuk itu adalah sebagai Timbalan Menteri Pelancongan dan selepas itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Ketika era Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri sebelum itu, Zahid Hamidi diketepikan seratus peratus daripada kedudukan dalam kerajaan kerana beliau dianggap sebagai penyokong kuat kepada Anwar.
Hishammuddin pula adalah anak kepada bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn serta cucu kepada pengasas UMNO, Onn Jaafar.
Hebat dan luar biasa tak Zahid Hamidi kerana sungguh tidak takut untuk memecat menantu seorang bekas Perdana Menteri serta menggantung keahlian anak bekas Perdana Menteri dan cucu kepada pengasas UMNO?
Hanya seseorang yang ada keberanian luar biasa saja mampu mengambil tindakan sedemikian rupa.
Tambahan lagi, baik KJ atau Hishammuddin, kedua-duanya adalah harapan sebahagian penyokong dalam UMNO sendiri sebagai bakal Perdana Menteri suatu hari nanti.
Ertinya, yang dipecat dan digantung malam tadi adalah bakal pemimpin besar negara suatu hari, tapi Zahid Hamidi dengan berani telah “menebang” pokok yang mulai rendang itu.
Perghhh…hebat sekali Zahid Hamidi, boleh kita angkat topi kepadanya.
Kini kita mesti mengaku – siapa kata “Pendekar Jawa” tidak hebat menghunus senjata? – ShahbudinHusin 28/01/2023.