HISHAMMUDDIN TAK MUNGKIN BERANI LAWAN ZAHID HAMIDI



Terdapat dua persoalan utama di sebalik riuh rendah yang kian memuncak tentang pertandingan jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti yang bakal diadakan sebelum Ramadan akan datang.


Pertama, siapa yang mahu bertanding merebut jawatan Presiden UMNO yang kini disandang Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi?


Walaupun kecoh-kecoh kononnya UMNO perlu perubahan kepimpinan dan tidak mahu parti menerima nasib lebih buruk dalam PRU16 nanti, namun sehingga kini belum ada yang muncul menawarkan diri.


Bila lagi dan mahu tunggu apa lagi?


Kedua, meski Hishammuddin Hussein disebut-sebut bakal bertanding jawatan Presiden UMNO menentang Zahid Hamidi, tetapi beliau juga sehingga hari ini masih berteka-teki mengenainya.


Selain tiada petunjuk yang betul-betul jelas bekas Menteri Pertahanan itu benar-benar mahu menawarkan diri untuk mencabar Zahid Hamidi, yang sedikit malang ialah beberapa pimpinan UMNO bahagian dan aktivis parti yang ditanya pendepat mereka mengenainya, rata-rata mengatakan anak Tun Hussein itu tidak mungkin berani berbuat demikian.


Kata mereka, Hishammuddin terkenal dalam sejarah politiknya sebagai pemimpin “play safe” yang tidak pernah berani untuk menentang arus.


Jelas mereka, pada pemilihan UMNO 2018 dulu misalnya, Hishammuddin tidak sedia untuk bertanding sebarang jawatan semata-mata kerana BN sudah kehilangan kuasa sebagai kerajaan.


Mereka berhujah, di tambah dengan kedudukan Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri sekarang ini dan dirinya pula tiada apa-apa jawatan dalam kerajaan, lagilah beliau tidak berani untuk menawarkan diri.


Untuk itu, mereka tidak yakin sama sekali anak bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn itu ada sedia untuk menentang Zahid Hamidi.


Malah kata mereka lagi, untuk menentang Mohamad Hasan yang kini memegang jawatan Menteri Pertahanan bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO juga tidak mungkin Hishammuddin berani melakukannya.


Dalam keadaan sekarang, ujar mereka, jawatan yang paling mungkin Hishammuddin berani menawarkan diri hanyalah sekadar Naib Presiden UMNO saja.


Oleh kerana jawatan itu perlu tiga pengisian, ia lebih mudah untuk beliau memenangi salah satu daripadanya, tambah mereka lagi.


Yang penting, kata mereka, dengan jawatan Naib Presiden itu sudah memadai untuk Hishammuddin memastikan survival politiknya terus terjamin dalam PRU16 akan datang, bahkan sesuai dengan imej “play safe” yang dimilikinya.


Bagi kebanyakan pemimpin dan aktivis UMNO, mereka lebih meyakini bahawa Zahid Hamidi sangat berpotensi besar untuk terus kekal memimpin parti tersebut sehingga PRU16 akan datang.


Jawatan dalam kerajaan yang dipegangnya adalah tunjang kekuatan untuk Presiden itu dapat terus mengekalkan jawatannya yang sekaligus membuatkan lawannya jadi “kecut telur” dibuatnya, demikian kesimpulan mereka mengenai ura-ura pertembungan Zahid Hamidi dengan Hishammuddin. – ShahbudinHusin 30/12/2022.