Pihak Kementerian
Kewangan (MoF) sudah menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) butiran berhubung pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang
dibelanjakan kerajaan pada 2020 dan 2021 berhubung pengurusan Covid-19.
Bagaimanapun, SPRM
menjelaskan jumlah dana seperti didakwa oleh individu tertentu sebelum ini
bukan bernilai RM600 bilion.
SPRM dalam satu
kenyataan di sini hari ini berkata, fokus siasatan kini adalah terarah kepada
RM92.5 bilion membabitkan dana kerajaan daripada nilai dakwaan penyelewengan
wang perbelanjaan negara yang dianggar hampir RM600 bilion.
“Siasatan awal
mendapati jumlah peruntukan terbabit dianggar berjumlah RM530 bilion.
Berdasarkan jumlah itu, RM92.5 bilion adalah dana kerajaan manakala RM437.5
bilion bukan daripada kerajaan.
“Justeru, fokus siasatan SPRM
akan terarah kepada dana sebanyak RM92.5 bilion.
“Kementerian
Kewangan sedang memperincikan pecahan itu dan akan menyerahkannya kepada SPRM
pada minggu hadapan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Sebelum
ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, pegawai
Kementerian Kewangan mengesahkan berlaku pelanggaran serius berhubung prosedur
perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran kerajaan di bawah Tan Sri
Muhyiddin Yassin.
Rabu
lalu, Muhyiddin bersama bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin serta
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku
Abdul Aziz, dilapor akan dipanggil SPRM berhubung dakwaan berlaku salah guna
dana RM600 bilion ketika pandemik Covid-19.
Muhyiddin
yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sebelum ini menegaskan tidak takut
disiasat berhubung laporan polis dibuat beberapa pihak mendakwa beliau
menyeleweng dana terbabit.
Tengku
Zafrul yang ketika itu memegang portfolio sebagai Menteri Kewangan, memaklumkan
tidak mendapat sebarang panggilan daripada SPRM untuk memberi keterangan
berhubung dakwaan penyelewengan dana RM600 bilion dalam kerajaan terdahulu.
Tengku
Zafrul juga menegaskan tiada isu ingin diselindung, malah bersedia memberi
kerjasama sekiranya dipanggil memberi keterangan.