AMK mobilisasi misi bantuan banjir Pantai Timur
Banjir di Pantai Timur yang semakin buruk mendapat perhatian Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia.
Ketuanya, Adam Adli Abdul Halim berkata pihak AMK sedang mengusahakan bantuan segera kepada mangsa banjir di samping anggota AMK Kelantan dan Terengganu yang giat berusaha membantu mangsa banjir.
“AMK Malaysia menyatakan simpati dan kegusaran terhadap lebih 44,000 mangsa terkesan banjir besar di Pantai Timur terutama Kelantan dan Terengganu.
“Tindakan awal telah diambil oleh AMK Kelantan dan AMK Terengganu termasuk kerja-kerja perhubungan untuk mangsa terjejas, persediaan logistik bagi saluran bantuan, dan mobilisasi sukarelawan.
“Pada peringkat sekarang, AMK akan mengumpul sumbangan yang berkeperluan lebih mendesak terutama bekalan air minuman, makanan kering dan siap makan, ubatan asas, tuala wanita, lampin bayi serta susu formula antara lainnya,” kata Adam dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Adam yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan mengarahkan AMK seluruh negara memobilisasi anggota-anggotanya dari seluruh negeri selain mengaktifkan Skuad KEADILAN bersama-sama KHIDMAT untuk membantu mangsa banjir di Pantai Timur.
“AMK juga menggerakkan Galang Dana Misi Banjir AMK bagi maksud urusan membantu mangsa banjir di sana, justeru sumbangan semua adalah dirayu
“AMK bersedia untuk melebarkan jaringan kerjasama dengan mana-mana pihak dalam usaha bersama berhadapan musibah ini,” katanya lagi.
Orang ramai boleh menyumbang ke akaun bank 21243960010033 (RHB Bank Parti Keadilan Rakyat) dengan rujukan Misi Banjir AMK bagi membeli keperluan segera mangsa banjir di Pantai Timur.
Untuk sebarang maklumat lanjut boleh hubungi: Muhammad Syaril Showkat Ali, Pengarah Komunikasi AMK Malaysia.