Kait ‘perwatakan moral’, Anwar hantar surat tuntutan kepada Sanusi.
PETALING JAYA: Anwar Ibrahim menghantar surat tuntutan kepada Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor berhubung ucapan dimuat naik ke Facebook yang didakwa membayangkan presiden PKR itu berperwatakan tidak bermoral.
Dalam surat diserahkan hari ini, Anwar mendesak Sanusi segera menarik balik ucapan itu yang dianggap berunsur fitnah.
Surat itu menuntut supaya Sanusi memohon maaf di media pilihan Anwar. Sanusi juga perlu memberi jaminan bertulis untuk tidak mengulangi dakwaan berkenaan, jika tidak prosiding undang-undang akan dimulakan terhadapnya.
Dalam surat dihantar oleh peguam SN Nair, Anwar yang bertanding untuk kerusi Parlimen Tambun di Perak berkata beliau akan memfailkan saman fitnah RM10 juta kerana reputasinya terjejas.
“Saman akan difailkan sekiranya Sanusi gagal memberi respons kepada surat tuntutan ini dalam tempoh tiga hari,” kata peguam itu.
Nair berkata, Sanusi antara lain membayangkan bahawa Anwar telah menyalahgunakan kuasanya sebagai Ahli Parlimen, selain bersifat penipu, pengkhianat, hipokrit dan bukan seorang Muslim yang baik.
Nair berkata, Anwar menerima pengampunan diraja penuh pada 16 Jun 2018 bagi tiga sabitan terhadapnya – iaitu satu tuduhan salah guna kuasa dan dua tuduhan liwat – atas alasan berlakunya “salah laksana keadilan”.
Katanya pengampunan itu juga disebabkan wujud konspirasi untuk menyerang dan “membunuh” karakter politik Anwar.
Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PAS dikatakan membuat ucapan itu ketika berkempen bagi menyokong calon Perikatan Nasional Ahmad Faizal Azumu yang juga bekas Ahli Parlimen Tambun.
Ucapan itu dimuat naik di Facebook Faizal pada Ahad. Susulan itu, Anwar berkata ia merosakkan reputasinya memandangkan hantaran itu dilihat 81,000 kali selain mendapat 383 komen, 500 reaksi, dan dikongsikan 61 kali pada masa surat tuntutan itu dihantar.
Menurutnya, isi kandungan ucapan itu turut dilaporkan dalam bahasa Malaysia dan Inggeris oleh portal berita Malaysiakini, malah videonya juga dimuat naik ke situ.
Pada 9 Nov, Anwar menghantar surat tuntutan kepada Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berhubung dakwaannya di satu ceramah bahawa presiden PKR itu akan mempromosikan agenda LGBT, membenarkan perkahwinan sejenis, dan menyokong agenda komunis.
Anwar memberikan bekas ADUN Gunung Semanggol itu tujuh hari untuk membalas dan membayarnya RM5 juta kerana merosakkan reputasinya, berserta kos perundangan.
Dua minggu lalu, Anwar menghantar surat tuntutan serupa kepada bekas ahli PKR Faizal Effendi Hasim kerana didakwa membuat tuduhan palsu dan fitnah terhadapnya menerusi akaun TikTok @mr_ari11.