Najib bukan perawi sahih isu skandal LCS
Skandal pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia yang menjangkau seminggu sejak didedahkan semakin mendapat ulasan pelbagai pihak, dari kalangan menteri, golongan profesional sampailah ke rakyat biasa
Namun pada sisi lain, bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika kontrak kapal tersebut diluluskan, Najib Razak bermati matian untuk membersihkan namanya dan kerajaan BN yang kononnya tidak bersalah sama sekali.
Malah hujah Najib seolah olah apa yang dilakukannya adalah untuk memudahkan pembinaan kapal tersebut biar pun rakyat maklum pelbagai masalah berlaku apabila kerajaan membenarkan syarikat yang membekalkan kapal selam Scorpene terlibat dalam membina LCS.
Bagi Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata kata Najib amat tidak layak didengar dan rakyat tidak seharusnya termakan hujah beliau yang berbelit belit.
“Datuk Seri Najib bukan perawi (rujukan) yang sahih. Kalau nak tanya, tanyalah (lihat) apa yang dilakukan oleh Jawatankuasa Kementerian Pertahanan semasa Datuk Seri Ismail Sabri (menjawat) Menteri Pertahanan. Dia kemukakan laporan pada 3 Ogos 2020.
“Jawatankuasa Kementerian Pertahanan telah mengenalpasti beberapa kelemahan dan masalah pada ketika itu. 3 pilihan dibeeri termasuk pembatalan projek
“Kemudian Jawatankuasa Kira kira Wang Negara (PAC) Parlimen yang juga mengambil pandangan (daripada) audit forensik. Ingat debat dengan Najib dulu, yang paling dia takut ialah audit forensik.
“Saya tak peduli siapa salah (dalam skandal LCS). Saya nak kenal pasti siapa bertanggungjawab mengambil keuntungan, komisen dan membuat kerosakan,” kata Anwar dalam sidang media petang tadi.
Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, Najib sepatutnya tidak lepas tangan dan memberikan penjelasan terperinci mengenai pelbagai isu berhubung projek LCS, termasuk punca bayaran sebesar RM6 bilion dilepaskan oleh kerajaan ketika itu sedangkan progres pembinaan kapal amat lembab.
“Najib Menteri Pertahanan tidak boleh lepas tangan. Sebab itu kita minta SPRM menyegerakan tindakan. Laporan PAC itu diedar kepada Ahli Parlimen, kita baca.
“Soal yang saya tekankan bukan LCS sahaja. Tetapi setiap projek mega mesti ada rompakan. Ini apa punya jenis negara yang biarkan perkara ini berlarutan? macam mana selesai? Cara selesai selamatkan Melayu, gerakan Melayu.
“(Bagi saya) cara selesai buang pemimpin Melayu, Cina India, Iban yang merosakkan negara dengan rompakan ini. Itu pendirian kita,” katanya lagi.