PELAJAR TAK MINAT BELAJAR, GURU PULA SUDAH MULA HILANG SELERA MENGAJAR.



Generasi kini sebenarnya generasi yang mempunyai kelebihan dan kekuatan sehinggalah mereka ini dianggap 'Multiple Intelligences Task'. Mereka mempunyai tahap kecerdikan, kepintaran serta kecerdasan yang tinggi berbanding generasi yang dahulu.
Generasi kini juga bukanlah generasi yang lemah bahkan ianya telahpun melalui proses kemajuan dan kemodenan sehingga potensi mereka boleh lebih jauh kehadapan berbanding dengan dahulunya.
Walaubagaimana pun, generasi kini seakan-akan hilang selera untuk belajar dan hilang minat untuk menyambung pembelajaran sehinggalah ada yang beranggapan ianya tidak penting serta tidak berbaloi untuk teruskannya.
Di mana silapnya?
Mungkin kesilapan ini datangnya daripada pelbagai aspek. Saya letakkan 5 aspek yang telah berlaku kini.
.
1. Terlalu banyak eksperimen sistem dalam pendidikan.
Apabila penggubal pendidikan terlalu banyak mengubah sistem mengikut citarasa dan menjadikan ia seperti bahan ujikaji maka mangsanya adalah pelajar dan guru yang mendidik. Silibus yang susah juga membuatkan pelajar sudah hilang minat belajar dan mencari haluan sendiri yang lebih memudahkan bagi mereka. Guru pula mula resah sehinggah ada yang mula berundur daripada mengajar dan mendidik.
.
2. Pendidikan hanya untuk meraih keuntungan dan menjadi perniagaan semata-mata.
Apabila ada tangan-tangan orang atasan yang ingin mengambil keuntungan peribadi dan organisasi di dalam sistem pendidikan maka berlaku saat kejatuhan generasi. Pendidikan bukan lah untuk dibuat perniagaan dan pendidkan juga bukanlah alat untuk menjadikan seseorang itu robot. Apabila ada mentaliti atasan seperti ini maka sistem pendidikan kini bukan lagi untuk proses memandaikan bangsa dan ummah.
.
3. Pengangguran dikalangan mahasiswa masih ramai.
Walaupun Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan 2021 mencatatkan kadar pengangguran yang lebih rendah pada 4.2 peratus dengan 687,600 orang, tetapi mahasiswa tetap masih ramai yang mengalami keadaan pengangguran. Ini menyebabkan persepsi generasi kini mula tidak mahu mengejar pendidikan serta menyambung pelajaran kerana ianya tidak dapat menjamin akan kerjaya mereka nanti.
.
4. Pengaruh media sosial yang menjadi 'gula-gula'.
Pengaruh media sosial juga menjadi daya tarikan kepada generasi kini menjadi malas dan lesu untuk menyambung pelajaran kerana kini gambaran bahawa tanpa pelajaran pun boleh berjaya dan menjadi kaya. Generasi kini telah disemai dengan pengaruh, pengikut, kemewahan dan popular di media sosial sehingga mereka lupa akan pembelajaran itu menjadi keutamaan. Hasilnya banyak lagi cara boleh "hidup" walaupun tanpa pelajaran.
.
5. Kesan ekonomi yang menghantui generasi kini.
Kini sudah ada ibu-bapa yang tidak mengharapkan anak-anak mereka mempunyai pendidikan bahkan menyambung pelajaran kerana kesan dan kos ekonomi telah menghantui golongan mereka ini. Kita tidak boleh menyalahkan golongan yang tersepit seperti ini kerana mereka hanya memikirkan bagaimana untuk mendapatkan sesuatu bagi menyara kehidupan setiap hari. Kini anak muda lebih rela bekerja sebagai 'delivery' makanan dengan income yang cukup-cukup makan dari makan gaji dengan majikan.
.
KESIMPULANNYA
Sekiranya benar kajian menyatakan 72.1 peratus enggan sambung belajar selepas SPM maka bagi saya sistem pendidikan kini sudah makin tenat dan perlu mencari solusi. Tidak perlu banyak mengubah tetapi carilah jalan supaya memudahkan pelajar serta guru kembali ke jalan pendidikan yang betul.
Sekiranya pelajar kini ramai yang tidak mahu menyambung pelajaran, guru juga kini sudah hilang selera untuk teruskan mendidik dan mengajar pelajar generasi kini. Mana silapnya?
Selamatkanlah pendidikan generasi baru di Malaysia #selamatkanpendidikan .