‘ANWAR BUKAN LIABILITI WALAU BELUM LAGI JADI PERDANA MENTERI’


 Saya ingin mengupas persoalan ini menjelang Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) yang akan mengadakan Kongres Nasionalnya bermula Jumaat 15 Julai ini hingga 17 Julai 2022 di Shah Alam, Selangor.

Gagal menjadi Perdana Menteri, bukan bermakna Anwar Ibrahim suatu liabiliti kepada perjuangan Keadilan untuk menjadi Kerajaan. Sebaliknya, Anwar Ibrahim adalah suatu aset kepada perjuangan reformasi, sesuatu yang lebih besar daripada sekadar hanya menjadi Perdana Menteri dan kerajaan.

Kenapa Anwar Ibrahim yang telah memulakan gerakan reformasi sejak tahun 1998 masih gagal menjadi Perdana Menteri? Berikut adalah jawapannya.

Musuh utama Anwar Ibrahim dalam politik ialah golongan elit berkuasa yang ada di Malaysia dari dulu hingga kini. Golongan elit yang menguasai ekonomi dan politik Malaysia sejak negara ini Merdeka pada tahun 1957 tidak akan membenarkan orang seperti Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. Mengapa?

Golongan elit berkuasa ini yang terbina dari zaman Kerajaan Perikatan diikuti dengan Kerajaan Barisan Nasional (BN) selama lebih enam puluh tahun membina kekayaan peribadi dan keluarga masing-masing hasil dari dasar kapitalis kroni.

Golongan ini bimbang dengan dasar-dasar ekonomi Anwar Ibrahim yang lebih memihak kepada kepentingan hidup rakyat jelata.

Golongan elit berkuasa yang ada sekarang tidak suka pada mana-mana pihak yang melancarkan perang terhadap rasuah. Manakala Anwar Ibrahim menjadikan usaha membanteras rasuah sebagai agenda utama perjuangannya. Siapakah di Parlimen Malaysia pada tahun 2013 yang mula-mula sekali mendedahkan skandal 1MDB? Orang itu ialah Anwar Ibrahim. Dua tahun kemudian beliau dihumban ke Penjara Sungai Buluh. Itu harga yang Anwar terpaksa bayar kerana mendedahkan skandal rasuah.

Seperti diktator Robert Mugabe di Zimbabwe, begitulah Kerajaan BN yang dikuasai oleh elit berkuasa menggunakan fitnah untuk memenjarakan Anwar Ibrahim, musuh politiknya.

Selepas bebas dan kembali menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia, apa antara isu rasuah yang Anwar suarakan? Beliau menuntut skandal kewangan yang didedahkan oleh Pandora’s Papers supaya dibahaskan di Parlimen. Hal-hal seperti ini amat tidak disukai oleh golongan elit berkuasa.

Sebenarnya untuk berlaku adil kepada sejarah politik Malaysia, perjuangan reformasi yang ingin dibawa oleh Anwar Ibrahim telah dimulakan sejak tahun 1950an dan 1960an lagi oleh tokoh-tokoh politik terdahulu.

Ertinya, gerakan reformasi tidak bermula hanya pada zaman Anwar Ibrahim memimpinnya (selepas beliau dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia) pada bulan September 1998.

Sebagai contoh Aziz Ishak, Menteri Pertanian di bawah Tunku Abdul Rahman telah memulakan usaha reformasi di bidang pengeluaran padi dengan usaha memecah monopoli pembekalan baja pertanian dengan cadangan radikalnya untuk kerajaan membina kilang baja sendiri. Golongan elit berkuasa ketika itu marah dan bertindak. Tunku tunduk kepada mereka dan memecat Aziz Ishak sebagai menteri. Aziz Ishak kemudiannya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan di penjarakan di Kem Tahanan.

Anwar Ibrahim tahu sejarah itu semua. Tetapi dia degil. Anwar masih hendak merombak tatakelola (governance) institusi-institusi penting kerajaan seperti Perkhidmatan Awam, SPRM, SPR, PDRM dan banyak lagi. Ini yang Anwar tegaskan berulang-ulang kali. Anwar begitu “passionate” dengan perjuangannya untuk membina tatakelola yang baik bagi institusi-institusi penting tersebut yang dianggapnya sebagai tiang seri sebuah kerajaan. Boleh bayangkan, adakah golongan elit berkuasa akan membenarkan Anwar Ibrahim berjaya dengan agenda reformasinya itu?

Jawapannya tentu sekali tidak. Golongan elit berkuasa inilah yang berada di belakang tadbir melakukan segala macam intriq dan helah supaya Perdana Menteri Ketujuh tidak menunaikan perjanjian untuk turun jawatan Perdana Menteri selepas dua tahun berkuasa di zaman Pakatan Harapan yang lalu. Mungkir janji Dr. Mahathir Mohamad itu bukan satu kebetulan. Ia adalah satu rancangan di dalam “grand design” untuk menggagalkan Anwar Ibrahim menggantikan Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Pemimpin-pemimpin terdahulu seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ahamad Boestamam, Dr. Ishak Hj Muhammad (Pak Sako) pada tahun 1950an dan 60an pernah membawa agenda perubahan ekonomi dan politik di Malaysia. Istilahnya tidak dipanggil reformasi. Tetapi maksudnya sama iaitu membawa perubahan yang lebih adil, lebih demokratik kepada rakyat. Golongan elit berkuasa ketika itu senang saja menekan pemimpin-pemimpin tersebut dengan melabel perjuangan mereka sebagai radikal. Tiga pemimpin tersebut semuanya dipenjarakan bertahun-tahun di Kem Tahanan di bawah ISA.

Tetapi golongan elit berkuasa sekarang pening kepala dengan Anwar Ibrahim. Sebab Anwar tidak radikal perjuangannya. Anwar 16 tahun jadi sebahagian di dalam etablishment Umno dan BN sebagai Menteri.Dari pengalamannya di dalam kerajaan dulu, Anwar tahu betul buruknya amalan kapitalis kroni, nepotisme dan rasuah. Politik Anwar yang sederhana, tidak radikal mudah difahami dan diterima oleh rakyat pelbagai kaum termasuk golongan busines yang tulen bukan kroni. Ini yang menakutkan golongan elit berkuasa.

Pemimpin-pemimpin kiri terdahlu daripada Anwar Ibrahim dari pelbagai kaum seperti Kassim Ahmad, Dr Tan Chee Khoon, Dr M.K.Rajkumar, Prof. Syed Husin Ali, Prof Madya Dr Sanusi Osman, Karam Singh, Tajuddin Kahar, Abdul Razak Ahmad, Rustam A Sani, Mohideen Kader, C.C. Yong, Prof Abd Halim Ali dan Syed Hamid Ali lebih lantang, lebih tegas perjuangan politik dan ekonomi mereka untuk membawa perubahan di Malaysia. Masa itu tahun 70an, istilah reformasi belum lagi jadi istilah bagi perubahan, tetapi maksudnya sama dengan tujuan reformasi yang Anwar Ibrahim perjuangkan.

Tetapi golongan elit berkuasa tidak bimbang dengan tokoh-tokoh politik yang disebut tadi yang kebanyakannya datang dari Parti Rakyat Malaya dan Parti Buruh Malaya yang membentuk Fron Sosialis Malaya. Bagi Kerajaan berkuasa pada waktu itu dan golongan elit di belakang mereka melemahkan pemimpin-pemimpin kiri tersebut dengan mengatakan agenda kiri dan sosialis yang mereka bawa itu tidak sesuai bagi Malaya atau Malaysia kemudiannya. Tidak cukup dengan propaganda itu kebanyakan nama yang disebut itu berakhir dalam penjara di bawah ISA di kem Tahanan Batu Gajah dan Kem tahanan Kamunting, kedua-duanya di Perak.

Tetapi Anwar Ibrahim, tidak radikal, tidak berideologi kiri, bukan seorang sosialis. Anwar bekas Timbalan Presiden Umno sebuah Parti Melayu yang eksklusif sifatnya. Anwar bekas Timbalan Perdana Menteri dan pada suatu ketika pernah menjadi Pemangku Perdana Menteri Malaysia yang biasa menghadiri jamuan makan Perdana Menteri, Presiden dan raja-raja dari banyak negara sahabat Malaysia di seluuruh dunia. Imej Anwar Ibrahim ini yang senang dan dekat di hati rakyat biasa, amat membimbangkan golongan elit berkuasa, yang antara mereka ini ialah maha jutawan, bilioner, bekas Menteri Kewangan, Ketua-Ketua korprat gergasi dan bekas ketua-ketua GLC dan GLIC. Dari mulut mereka inilah secara langsung atau melalui agen-agen mereka (yang sedar atau tidak sedar), pada akhir-akhir ini apabila pilihanraya umum semakin dekat, dihamburkan perkataan-perkataan propaganda seperti Anwar perlu berundur, Anwar tidak lagi relevan, Anwar adalah liabliti kepada partinya sendiri.

Justeru itu, kepada anggota Parti Keadilan Rakyat yang sedang berkongres sekarang ini, janganlah terpedaya dengan propaganda dan kempen jahat golongan elit berkuasa yang cuba melemahkan Anwar Ibrahim.

Tiga kali Anwar telah disumbat ke penjara (tahun 1974, 1998, 2015) yang berjumlah 11 tahun kesemuanya. Golongan elit berkuasa telah gagal mematikan iltizam Anwar Ibrahim untuk melakukan reformasi di negara kita ini.

Pada tahun ini atau pada tahun hadapan 2023, maka Pilihanraya Umum ke-15 akan diadakan. Anwar Ibrahim sebagai Presiden Keadilan, Pengerusi Pakatan Harapan dan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia akan mengetuai Keadilan, PH dan parti-parti pembangkang untuk mendapatkan semula mandat rakyat melalui peti undi bagi membentuk sebuah pemerintahan baru yang memberikan harapan kepada rakyat dan Malaysia.

Selamat Berkongres dan salam perjuangan

Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang

15 Julai 2022 (Jumaat)





No comments: