Keluar masuk parti demi kepentingan rakyat, Hamzah diselar Ahli Parlimen PH
PETALING JAYA: Ahli Parlimen pembangkang menghentam dakwaan Hamzah Zainudin berhubung keluar masuk parti dilakukan demi kepentingan rakyat, sambil seorang wakil rakyat melabelkan setiausaha agung Bersatu itu sebagai “ironik”.
Ahli Parlimen Klang daripada DAP, Charles Santiago, memberitahu FMT, berkata beliau tidak terkejut membabitkan pendirian Hamzah dan ingin mengetahui sama ada presidennya, Muhyiddin Yassin, akan bersetuju dengannya.
Charles turut mempersoalkan sekiranya Hamzah berhasrat melompat sekali lagi.
“Dakwaannya berlawanan dengan apa yang diinginkan rakyat – kerajaan stabil, terutama selepas Langkah Sheraton,” katanya merujuk kepada perkumpulan sejumlah besar Ahli Parlimen sehingga tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan.
Santiago ketika mengulas lanjut, berkata negara ini tidak boleh dibenarkan berlaku kali kedua Langkah Sheraton.
“Ia akan menghancurkan negara ini dan keyakinan rakyat terhadap proses pilihan raya bertambah buruk.”
Lompat parti, katanya, akan membunuh politik pilihan raya dan kerajaan hari ini boleh dibeli menerusi “bidaan tertinggi”.
Awal hari ini, menurut laporan Sinar Harian, Hamzah dilihat cuba mempertahankan lompat parti dengan mengatakan tindakan itu dilaksanakan demi kepentingan rakyat.
“Isu meninggalkan parti berlaku bukan sahaja di peringkat bawah tetapi dalam kalangan kepimpinan parti termasuk Dr Mahathir Mohamad turut berbuat demikian,” katanya sambil merujuk tindakan keluar masuk parti sudah berlaku sejak sekian lama.
Hamzah berkata, apa sahaja yang sudah berlaku dalam tiga tahun lalu, iaitu selepas pilihan raya umum sudah pun terjadi.
Hamzah sebelum ini bersama Umno, namun meninggalkan parti itu untuk bersama Bersatu, pada 2019.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil, berkata walaupun menjadi hak menteri dalam negeri itu untuk berpegang kepada pandangannya, namun rakyat Malaysia berhak mendapat proses demokrasi tanpa keperluan melompat parti.
“Rakyat sudah lesu dengan lompat parti kerana tindakan begitu menghakis keyakinan pengundi terhadap proses demokrasi dalam pilihan raya. Melompat (parti) ditimbulkan melalui ancaman atau ugutan turut membiakkan berlakunya rasuah dan ia sangat buruk kepada negara,” katanya kepada FMT.
Pengarah komunikasi PKR itu, berkata pengundi termasuk kebanyakkan Ahli Parlimen menuntut undang-undang anti lompat dikuat kuasakan.
“Ia bukan demi kepentingan mana-mana parti, tetapi kepada rakyat dan Malaysia.
“Sekiranya kita sayang kepada Malaysia, sekiranya kita sayangkan demokrasi, kita tidak boleh sekadar membiarkan apa yang terjadi, sudah terjadi. Kita boleh memaafkan namun tidak mampu melupakannya. Dan kita wajib meluluskan undang-undang anti lompat,” katanya.
Semenyara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin daripada PKR, menyifatkan kenyataan Hamzah seperti berkhayal.
Selain itu, Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer, senada menyelar kenyataan Ahli Parlimen Larut itu.
“Apa yang katak tahu tentang prinsip dalam politik,” katanya kepada FMT dengan merujuk tindakan Hamzah yang dulunya melompat. Rayer juga menuntut menteri itu menjelaskan bagaimana melompat parti boleh dibenarkan selagi mana ia dilakukan demi kepentingan rakyat.
“Bilakah ahli politik di Malaysia melompat dari satu parti ke parti lain demi kepentingan rakyat? Bolehkah saya bertanya?
“Ia dilakukan demi kuasa, kedudukan dan kepentingan peribadi,” katanya.
Beliau juga menggesa undang-undang anti lompat dibentangkan segera sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU15) atau pengundi tidak lagu bersemangat keluar untuk memilih.
Sementara itu, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, menganggap apa yang dikatakan Hamzah sebagai “ironik” memandangkan menteri dalam negeri itu berada dalam jawatankuasa pemandu menerusi memorandum persefahaman antara kerajaan dan pembangkang.
Katanya, antara agenda utama terkandung dalam memorandum membabitkan undang-undang anti lompat parti.