Pemimpin Umno dakwa aktiviti maksiat berleluasa selama 32 tahun Pas mentadbir Kelantan
Walaupun digelar sebagai Serambi Mekah dan sudah ditadbir golongan agamawan selama lebih 30 tahun, Kelantan belum cukup Islamik, kata pemimpin Umno.
Bahkan kata Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub berdasarkan pandangan parti itu selama 32 tahun PAS mentadbir Kelantan aktiviti maksiat dan kemiskinan masih berleluasa.
Justeru menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang, Ahmad Jazlan berkata, Umno dan BN berjanji untuk menjadikan negeri Cik Siti Wan Kembang itu lebih Islamik berbanding sekarang.
Jelasnya antara aspek yang akan ditekankan jika BN berjaya menguasai Kelantan ialah usaha membawa keluar rakyat negeri itu daripada kepompong kemiskinan.
Turut ditawarkan ialah khidmat pendidikan agama lebih baik, dan penguatkuasaan jenayah syariah yang lebih serius.
“Kalau Umno-BN memerintah Kelantan nanti, bidang agama ini akan diuruskan oleh ulama.
“Umno juga tokoh-tokoh ulama yang akan kami ketengahkan kali ini dan mereka yang akan membantu kerajaan,” katanya pada sidang media selepas program makan colek bersama media Kelantan di Kota Bharu, semalam.
Tambah Ahmad Jazlan, bidang agama negeri pula adalah di bawah bidang kuasa sultan yang dibantu oleh majlis agama Islam dan jabatan berkaitan. Selain itu katanya Kelantan juga mempunyai mufti sendiri.
“Mereka itulah yang akan menentukan fatwa-fatwa. Kalau ulama jadi menteri besar pun dia tak boleh buat fatwa.
“Selama ini kita saja bangga kononnya Kelantan dipimpin ulama, saya pun tak tahulah kalau setakat Kota Bharu Bandaraya Islam, apakah yang lebih Islamiknya?” kata ahli parlimen Machang itu lagi.
Pada masa sama, menurut Ahmad Jazlan, jika BN mentadbir Kelantan dasar melarang kedai nombor ekor, penjualan arak juga akan dilarang.
Janji kurangkan kemiskinan
Terdahulu Ahmad Jazlan ditanya sejauh mana masyarakat Kelantan sebati dengan pentadbiran PAS yang menampilkan tokoh-tokoh agama dan apakah BN juga akan mengambil pendekatan sama untuk menawan hati rakyat pada PRU ke-15 nanti.
Untuk rekod PAS dan Umno mempunyai sejarah perseteruan yang panjang sebelum hubungan itu cuba diperbaiki selepas kedua-dua parti menjadi pembangkang selepas PRU ke-14 dengan menandatangani piagam Muafakat Nasional.
Di sebalik hubungan tersebut, kerjasama dalam kerajaan Kelantan dan Terengganu – yang dikuasai PAS – tidak terjelma seperti sepatutnya.
Selepas kedua-dua parti terbabit menjadi kerajaan pusat, hubungan itu kembali retak dan kian tegang.
Ahmad Jazlan berkata BN berjanji jika diberi peluang menjadi mentadbir, Kelantan akan menjadi sebuah negeri yang lebih Islamik berbanding sekarang kerana sebuah kerajaan bukan sekadar tidak memiliki kedai nombor ekor dan arak saja.
“Kalau dipimpin BN, kami akan sediakan peruntukan khusus untuk memperkukuh penguatkuasaan dalam bidang Islam, macam mana kita nak membanteras (jenayah) berkaitan dengan syariah.
“Saya boleh bagi jaminan, kalau BN memerintah, Kelantan ini akan lebih Islamik daripada PAS,” katanya.
Mengenai aspek sosial, Ahmad Jazlan berkata, turut diberi perhatian ialah usaha mengurangkan kadar kemiskinan dan membawa masyarakat yang tercicir kepada kehidupan lebih baik.
“Kalau kita tak buat dalam masa lima tahun, pilihan raya seterusnya saya minta rakyat tolong tarik balik sokongan (daripada BN),” katanya..