Kerajaan BN kelihatan tidak mampu mengawal harga bahan mentah
makanan pada bulan Ramadan dan dikhuatiri akan menjejaskan sambutan Hari Raya
Aidilfitri bagi umat Islam.
Alasan perang Rusia dan Ukraine yang biasa didengar sejak sebulan
lalu juga tidak boleh digunakan sebagai dalih kerana terdapat bahan bahan
mentah yang mengalami kenaikan tersebut dihasilkan di Malaysia.
Menurut Jawatankausa Kos Sara Hidup Pakatan Harapan (PH), kerajaan
seharusnya mengawal segera harga barang yang melambung kerana hal itu
menyukarkan lagi kehidupan rakyat yang baru hendak pulih daripada pandemik
Covid 19.
"Jawatan kuasa Kos Sara hidup menggesa agar Kerajaan supaya
bertindak segera mengawal harga barang yang melonjak di luar kawalan sekarang.
"Sebagai contoh, tepung gandum kini dijual pada harga RM3
sekilo, 50 sen lebih mahal. Susu pekat dijual RM3.80 iaitu 60 sen lebih mahal.
"Begitu juga cili padi kini dijual RM25 sekilo. Sebelum ini
harganya RM17 sekilo," kata kenyataan jawatankuasa terbabit.
Mengenai harga ayam yang telah dijadikan harga kawalan sejak
sekian lama, jawatankuasa itu hairan kerana harga yang ditetapkan kerajaan
tidak boleh dijual oleh peruncit.
"Kerajaan juga kelihatan gagal mengawal harga ayam di
pasaran. Hari ini, ayam dijual RM10.50 sekilo melebihi harga kawalan yang
ditetapkan pada RM8.90 sekilo," kata mereka.
Tambah Jawatankuasa itu lagi, kemungkinan kerajaan gagal
mengimport atau menyediakan bekalan ayam bulat secukupnya di pasaran.
Namun mereka menegaskan, menjadi tanggungjawab kerajaan yang
memerintah untuk memastikan harga barang pada kadar yang berpatutan dengan apa
cara sekali pun.
"Kami bagi pihak PH menggesa Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna supaya segera menjalankan penguatkuasaan yang
menyeluruh di seluruh negara," kata mereka lagi.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Hassan Abdul Karim (Ahli
Parlimen Pasir Gudang, KEADILAN); Datuk Hj Hasanuddin Mohd Yunus (Ahli Parlimen
Hulu Langat, AMANAH); Chong Chieng Jen (Ahli Parlimen Stampin, DAP); Natrah
Ismail (Ahli Parlimen Sekijang, KEADILAN); Sivakumar Varatharaju Naidu (Ahli
Parlimen Batu Gajah, DAP); Chan Foong Hin (Ahli Parlimen Kota Kinabalu, DAP);
Asmirul Anuar Aris (Ahli Dewan Undangan Negeri Kubang Rotan, AMANAH); Cha Kee
Chin (Ahli Parlimen Rasah, DAP) dan Puan Norhayati Bachok (Mantan Ahli Dewan
Undangan Negeri Maharani, AMANAH).