BUAT APA LAGI UMNO NAK TUKAR CALON PERDANA MENTERI?


 Selain berterusan menekan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob agar mempercepatkan tarikh PRU15, UMNO juga difahami agak berbelah bagi untuk mengekalkan lagi beliau menerajui negara.

Jika UMNO yang dipimpin Zahid Hamidi benar-benar mahu Ismail Sabri terus kekal sebagai Perdana Menteri lagi selepas PRU15, tiada sebab sebenarnya untuk mereka menekan dan mendesak Perdana Menteri mempercepatkan pilihan raya.

Kalau masih percaya dan mahu Ismail Sabri lagi sebagai Perdana Menteri, UMNO seharusnya menyerahkan sepenuhnya kepada beliau berkenaan tarikh pembubaran Parlimen itu.

Lagi pun, kuasa membubarkan Parlimen itu milik Agong setelah mendapat nasihat Perdana Menteri dan tiada kaitan langsung dengan kedudukan seseorang sebagai ketua parti.

Menekan dan mendesak beliau untuk menyegerakan PRU15 bermakna Zahid Hamidi yang disokong kuat oleh Najib Razak dan Mohamad Hasan ada percaturan lain siapa yang mahu diletakkan sebagai calon Perdana Menteri.

Tetapi, di sebalik ditekan dan diasak itu, Ismail Sabri malam tadi mencipta sejarah dengan mengadakan majlis berbuka puasa yang dihadiri Ahli-Ahli Parlimen kerajaan dan juga blok utama pembangkang.

Ini adalah pertama kali seorang Perdana Menteri mengadakan majlis berbuka puasa yang dihadiri secara bersama oleh pemimpin kerajaan dan juga pembangkang.

Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang dan pemimpin utama PH iaitu Mohamad Sabu dan Anthony Loke turut sama hadir dalam majlis yang diadakan di Seri Perdana itu.

Rakyat dilihat begitu teruja dengan apa yang dilakukan beliau kali ini.

Sebelum ini, apabila Perdana Menteri mengadakan majlis berbuka puasa, kecenderungannya ialah mereka hanya menjemput pemimpin kerajaan dan para penyokongnya sahaja.

Ismail Sabri telah memecahkan tradisi yang tidak mampu dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri daripada UMNO sebelum ini.

Dengan itu, di sebalik ditekan dan diasak dan mungkin bukan pilihan utama UMNO untuk diletakkan sebagai calon Perdana Menteri selepas PRU15 akan datang, jalan damai dan harmoni yang dipilihnya itu tentu saja boleh diberikan penghargaan serta pujian.

Jika lebih masa diberikan kepadanya, tidak mustahil makin banyak jalan damai dan harmoni mampu dirintisnya, bukan saja untuk kebaikan UMNO, malah juga untuk negara.

Lalu, buat apa lagi UMNO mahu menukar calon Perdana Menteri bagi mewakili BN dalam menghadapi PRU15 akan datang?

Apakah calon lain yang mahu ditonjolkan itu mampu melakukan lebih baik daripadanya?

Ataukah UMNO lebih suka memilih calon yang suka berbalah, bermusuh dan tiada kecenderungan merintis ke arah jalan damai sebagai calon Perdana Menterinya?

Ahli-ahli UMNO sekalian, fikir-fikirkanlah hal ini sejenak di sebalik keghairahan mengejar kuasa yang belum pasti mampu dimiliki lagi dalam pilihanraya nanti. – ShahbudinHusin 11/04/2022.