Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa kerajaan
BN agar tidak berdolak dalik dalam meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti
Lompat Parti pada sesi Parlimen Mac ini.
Menurut kenyataan Jawatankuasa Pemandu BERSIH, undang undang
berkenaan sangat perlu bagi menjamin integriti calon dan mengembalikan
keyakinan rakyat untuk membuang undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
Bagaimanapun BERSIH agak skeptikal dengan sikap Menteri
Undang-Undang, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang menyatakan masih lagi
belum ada kata sepakat bagi terma “lompat parti” kerana setiap parti mempunyai
tafsiran sendiri berkenaan makna dan ruang lingkupnya.
"Kami juga kesal dengan penundaan mesyuarat libat urus
bersama Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) yang dikelola oleh Menteri
Undang-Undang pada 17 Februari kerana peningkatan kes Covid-19.
"BERSIH dan CSO lain sangat ternanti peluang untuk bertemu
dengan Kementerian tersebut dan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk membincangkan
cadangan cadangan pembaharuan termasuk draf Undang-Undang Anti Lompat.
"BERSIH berharap kenyataan Wan Junaidi dan penangguhan libat
urus ini bukanlah dalih Kerajaan untuk tidak melaksanakan pembaharuan dan
penambahbaikan mustahak sebelum PRU15," kata kenyataan berkenaan.
Menurut kenyataan itu lagi, kegagalan meluluskan RUU Anti Lompat
Parti pada Mac mungkin menyebabkan Memorandum Persefahaman Transformasi dan
Kestabilan Politik (MoU) yang ditandatangan oleh kerajaan Ismail Sabri dan
Pakatan Harapan (PH) pada 13 September tahun lalu berisiko terbubar, dan
keadaan politik menjadi tidak menentu.
"BERSIH faham isu lompat parti kompleks dengan pelbagai
tafsiran, perundangan, pertimbangan antara parti dan pilihan raya, tetapi untuk
mencari penyelesaian sempurna adalah hampir mustahil.
"Kami juga berpandangan pasca Langkah Sheraton, di mana
lompat parti telah menyebabkan keruntuhan Kerajaan Persekutuan sebanyak dua
kali dan secara langsung atau tidak langsung mencetuskan perubahan di lapan
Kerajaan Negeri dalam masa dua tahun, penggubalan undang-undang ini sangat
penting untuk mencegah lompat parti di Malaysia bagi mengembalikan kestabilan
politik," kata mereka.
Oleh yang demikian, BERSIH menggesa agar dipertimbangkan beberapa
perkara mengenai RUU tersebut seperti hal wakil rakyat meninggalkan partinya
untuk menyertai parti lain atau menjadi bebas; Wakil rakyat bebas menyertai
parti politik; Wakil rakyat meletakkan jawatan secara sukarela daripada parti
atau kerusi dan Wakil rakyat dipecat oleh partinya
Kata mereka, dalam Undang-Undang Anti Lompat tradisional,
sekiranya perkara tersebut terjadi, kerusi mereka akan diisytiharkan kosong
secara automatik dan pilihan raya kecil akan berlangsung.
BERSIH, menurut kenyataan itu, lebih cenderung kepada Undang-Undang
Anti Lompat melalui Prosedur Pecat yang tidak akan secara automatik
mengosongkan kerusi pelompat parti tetapi menyediakan prosedur untuk pengundi
pelompat parti mengosongkan kerusi tersebut.
Bagaimanapun BERSIH akan menyokong cadangan undang-undang anti
lompat kerajaan dengan beberapa perkara perlu diselesaikan.
"Mansuhkan Perkara 48(6) di mana wakil rakyat meletakkan
jawatan daripada kerusinya dihalang bertanding selama lima tahun. Hal ini akan
memberi laluan kepada wakil rakyat meletak jawatan kerana prinsip daripada
partinya dan bertanding di kerusi yang sama untuk mendapat mandat baru daripada
pengundi. Sekiranya Perkara ini tidak dimansuhkan, wakil rakyat akan berhadapan
dipecat sebelum dibenarkan bertanding semula.
"Negeri perlu diberikan kebebasan untuk menggubal
undang-undang anti lompat sendiri, sama ada anti lompat tradisional, anti
lompat melalui prosedur pecat seperti cadangan BERSIH dan Ahli Parlimen
Pengerang Datuk Seri Azalina Said Othman, atau kaedah lain," kata mereka
lagi.
Sehubungan itu, BERSIH menggesa Menteri Undang-Undang dan kerajaan
PM Ismail Sabri agar membentangkan RUU Anti Lompat pada sidang Parlimen bulan
Mac dan memastikan usul tersebut menjadi undang-undang selepas mengambil input
daripada Ahli Parlimen, CSO dan orang ramai.