Anwar kecewa dengan parti Muda
Mohd Khidir Zakaria
am@hmetro.com.my
Port Dickson: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri
Anwar Ibrahim kecewa dengan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) kerana
meletakkan calon bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Larkin dalam
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurutnya, Pakatan Harapan (PH) tidak ada masalah terhadap
calon yang bertanding dalam PRN Johor tetapi masalah timbul di Dun Larkin
membabitkan parti Muda.
"Perkara ini akan diserahkan kepada rakyat untuk menilai
daripada segi sokongan.
"Kita memerlukan pembangkang yang kuat dan konsisten yang
tidak boleh disogok atau dibeli, itu yang rakyat perlukan," katanya pada
Program Santai Belia Malaysia di Pejabat Tanah dan Daerah Port Dickson, hari
ini.
Sementara itu, Anwar berkata, PH tidak meletakkan mana-mana
calon sebagai calon Menteri Besar tetapi mahu memastikan kemenangan (PRN) dulu.
"Perkara itu belum dibincangkan tetapi kita mahu
menyelesaikan isu kerusi dengan beberapa parti komponen yang membabitkan PKR,
DAP dan Amanah.
"Buat masa sekarang kita mahu tumpukan kawasan membabitkan
parti dalam PH terlebih dulu," katanya.