Polis panggil 7 pemimpin Pemuda PH berkait ceramah #TangkapAzamBaki

 

Mohd Hasbie Muda (Amanah), Howard Lee (DAP) dan Ahmad Syukri Abd Razab (PKR) antara 12 individu yang dipanggil untuk disoal siasat.

PETALING JAYA: Tujuh pemimpin sayap Pemuda Pakatan Harapan (PH) antara 12 yang akan disoal siasat polis esok susulan ceramah berkaitan himpunan #TangkapAzamBaki, Jumaat lalu.

Empat daripadanya terdiri Pemuda Amanah iaitu Ketua Pemuda, Mohd Hasbie Muda, timbalannya, Zubair Rahim; Pengarah Strategik, Asmaaliff Abdul Adam dan Ahli Jawatankuasa Pemuda, Abbas Azmi.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji yang juga Ketua Pemuda DAP, Howard Lee, Setiausaha Pemuda PKR, Ahmad Syukri Abd Razab serta ahli PKR dan aktivis, Adam Adli Abdul Halim.

Naib Presiden MUDA, Dr Thanussha Francis Xavier juga antara yang akan dipanggil selain Pengerusi Jalinan Nusantara Malaysia, Mohd Azam Mektar, Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Abu Hafiz Salleh Hudin, peguam, Bakri Omar dan aktivis media sosial, Amira Aisha.

Peguam mereka, Kamil Munim berkata, pihaknya belum mengetahui undang-undang apa yang digunakan untuk siasatan itu.

“Ia berkaitan acara Jumaat lalu tetapi saya tidak pasti seksyen mana yang diguna pakai. Saya berada di sana pada Jumaat, dan secara jujur, ia adalah pertemuan yang aman,” katanya.

Ceramah itu diserbu polis dan beberapa tangkapan dibuat, menurut penganjur perhimpunan.

Kamil berkata, beliau menjangkakan polis memanggil lebih ramai orang untuk disoal siasat.

Perhimpunan semalam menarik penyertaan 35 persatuan dan enam parti politik iaitu PKR, DAP, Amanah, Pejuang, MUDA dan Warisan.

Ratusan penunjuk perasaan berkumpul di Stesen LRT Bangsar untuk menuntut penahanan Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, yang dihimpit kontroversi pembelian saham syarikat tersenarai awam.

Penganjur juga mahu tindakan undang-undang diambil ke atas Azam dan meminta SPRM diletakkan bawah kuasa Parlimen.