Rakyat Sarawak seharusnya
menjadi antara yang paling makmur di Malaysia kerana hasil bumi yang banyak
termasuk gas asli, petroleum dan kayu balak.
Bagaimanapun, dalam jawapan di
Dewan Rakyat hari ini, kerajaan mengesahkan Sarawak mempunyai insiden
kemiskinan paling tinggi.
Hal itu, menurut Ketua
Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, menimbulkan
keraguan, ke manakah hasil kekayaan Sarawak selama ini dilonggokkan?
"Saya merujuk kenyataan
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Eddin Syazlee
Shith pagi ini di Dewan Rakyat. Beliau menjawab soalan yang dinyatakan oleh
Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan YB Nga Kor Ming.
"Dalam menjawab soalan
itu, Timbalan Menteri mendedahkan negeri Sarawak antara negeri yang merekodkan
kadar kemiskinan paling tinggi di Malaysia. Pendedahan ini bukanlah satu
perkara baru.
"Umum mengetahui meskipun
sudah sekian lama Sarawak diperintah oleh Gabungan Parti Sarawak yang
didominasi oleh PBB, kadar kemiskinan di negeri itu tidak bertambah baik, malah
kekal di tahap yang sama," kata Shamsul.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya
itu tertanya tanya mengapakah Sarawak yang mempunyai rizab simpanan tertinggi
berbanding negeri lain di Malaysia, sebanyak RM31 bilion, tidak menggunakan
dana berkenaan untuk membantu rakyatnya yang miskin.
"Amat menyedihkan buat
rakyat Sarawak, di mana negeri ini mempunyai rizab simpanan tunai terbesar.
Pendapatan negeri juga ketiga terbesar, di mana Sarawak menyumbang sebanyak 12%
kepada Keluaran Dalam Negara Kasar selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur.
"Namun di mana silapnya
dalam pengagihan kekayaan negeri ini kepada rakyat Sarawak?" tanyanya.
Lebih mengejutkan, kata
Shamsul, ADUN ADUN Sarawak juga diberikan peruntukan pembangunan tahunan yang
jauh lebih tinggi berbanding mana mana ADUN di Malaysia, malah melebihi
peruntukan Ahli Parlimen.
Namun ke manakah perginya dana
berkenaan kerana taraf hidup rakyat Sarawak kekal daif sejak berpuluh tahun.
"Peruntukan yang diterima
setiap ADUN Sarawak antara yang tertinggi di Malaysia.
"Setiap wakil rakyat GPS
menerima peruntukan tahunan sebanyak RM5 juta untuk Projek Transformasi Luar
Bandar (RTP), RM2 juta untuk Projek Kecil Luar Bandar (MRP), RM1 juta untuk
Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) dan RM1 juta untuk Program Tabung
Fasilitasi Pertanian.
"Adakah peruntukan yang
diterima ADUN ini benar-benar sampai ke tangan rakyat untuk menikmati
manfaatnya? Jika ya, mengapa Sarawak adalah antara negeri yang termiskin di
Malaysia," katanya lagi.