PRN Johor: Bantu mangsa banjir, tangani kesempitan hidup rakyat perlu diutamakan - PH

 


Pakatan Harapan Johor (PH) menyelar kenyataan Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad yang memberi bayangan akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) berikutan majoriti tipis kerajaan BN - PN di Johor selepas pemergian ADUN Kempas, baru baru ini.

Menurut pimpinan utama PH Johor, Kerajaan Negeri sepatutnya mengutamakan nasib hidup rakyat yang perlu dibantu kerana kesempitan hidup akibat Covid 19 juga mangsa banjir besar minggu lalu berbanding mengadakan PRN.

"PH Johor berpandangan, langkah melaksanakan sebarang PRN pada masa ini sebagai tidak sensitif terhadap realiti yang sedang rakyat lalui.

"Krisis kesihatan akibat Covid-19 yang memberi dampak kelembapan ekonomi masih belum selesai. Bahkan kemunculan varian Omicron menambah lagi kebimbangan rakyat.

"Ramai rakyat biasa yang terkesan. Dari sudut ekonomi domestik, ramai hilang pekerjaan seterusnya mengubah kehidupan rakyat ibarat kais pagi makan pagi. Tambah mendukacitakan, kegagalan kerajaan menstabilkan harga barangan mutakhir ini juga telah 'menambah cuka pada luka'

"Pada masa yang sama, negara turut sedang bergelut dengan bencana banjir yang telah mengorbankan puluhan nyawa rakyat biasa serta melibatkan kemusnahan harta benda mencecah jutaan ringgit. Ini suatu sejarah hitam," kata mereka.

Oleh itu, PH Johor berpandangan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar berkaitan kemungkinan perlaksanaan PRN sebagai tidak empati dengan nasib yang sedang dideritai rakyat.

"PH Johor berpendirian, segala usaha, tenaga, komitmen dan dana haruslah disalurkan untuk membantu rakyat yang sedang dalam kesusahan, meskipun kedudukan Dewan Negeri berada pada angka 28-27 selepas pemergian ADUN Kempas, Allahyarham Datuk Osman Sapian.

"Hal ini kerana, PH Johor telah sebulat suara menyatakan komitmen sepenuhnya untuk memberikan fokus membela nasib rakyat berbanding sepak terajang politik seputar soal perebutan kuasa semata mata," kata mereka lagi.

Tambah PH Johor, kerajaan BN - PN akan menambah mual rakyat terhadap perangai politikus pada saat mereka sedang bergelut bertarung nyawa dan berusaha mencari sesuap nasi manakala politikus 'menangguk di air keruh' untuk mempertahankan kuasa.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengerusi PH Negeri Johor merangkap Pengerusi Amanah Aminolhuda Hassan, Pengerusi KEADILAN, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Liew Chin Tong