Penduduk Kampung Sungai Baru bantah pampasan menindas, tidak setimpal
KUALA LUMPUR – Penduduk sekitar Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, di sini, sekali lagi melakukan bantahan terhadap projek pembangunan semula kawasan tersebut yang dianggap berat sebelah dan ‘menindas’ mereka.
Sebahagian penduduk yang dipercayai tidak berpuas hati dengan tawaran perjanjian itu mula berkumpul di Jalan Sungai Baru kira-kira pukul 10 pagi untuk meluahkan tanda protes.Bagaimanapun setelah berkumpul kira-kira 15 minit, penduduk terbabit dihampiri anggota polis yang meminta mereka bersurai dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara.
Pengerusi Persatuan Komuniti Sungai Baru, Syed Salehuddin Syed Abdullah berkata, terdapat kira-kira 30 peratus penduduk yang masih belum menurunkan tanda tangan dan menolak tawaran yang dirasakan tidak setimpal dengan nilai semasa tanah
“Pemaju telah datang lima tahun yang lepas dan tawarkan penduduk berpindah ke tempat lain dengan menyediakan rumah tetapi perjanjian mereka berat sebelah. Kalau mereka (pemaju) bankrap kami tidak boleh berbuat apa-apa jadi kami takut.
“Segelintir kami dalam 30 peratus masih belum tanda tangan dan mereka (pemaju) menggunakan Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk buat pengambilan, sehari selepas Seksyen 4 dikeluarkan.
“Sebab itu kami minta YB Rina (Datuk Seri Rina Mohd Harun) berjumpa dengan Menteri Wilayah Persekutuan (Datuk Seri Shahidan Kassim) untuk turun dan menolong kami semua,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Sungai Baru di sini hari ini.
Kampung Sungai Baru melibatkan penduduk yang menetap di dua jenis kediaman iaitu Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan rumah di tanah persendirian.
Difahamkan, kira-kira 70 peratus pemilik di kawasan berkenaan bersetuju dengan pembangunan semula kawasan itu dan telah menurunkan tanda tangan.
Sementara itu, penduduk, Saiful Azhar Ibrahim, 49, mendakwa nilai pampasan yang ditawarkan seolah-olah tidak masuk akal dan dianggap menindas penduduk kawasan berkenaan.
Jelasnya, penduduk yang tinggal di Flat Sungai Baru hanya ditawarkan antara RM200,000 sehingga RM250,000 sebagai balasan.
“Jika dengan nilai pampasan sedemikian mana nak cari rumah baru di kawasan Kuala Lumpur ini? Rumah mereka memang rumah lama tapi nilai kawasan perlu diambil kira.
“Kerisauan kami terutama penduduk rumah teres adalah berapa nilai pampasan yang bakal kami terima? Ada kemungkinan (pampasan) kami dinilai dengan rendah juga.
“Walhal berdasarkan penilai hartanah swasta yang menilai tanah dan rumah saya yang sudah diubah suai menjadi tiga unit rumah itu dianggarkan sekitar RM3.1 juta,” ujarnya yang merupakan generasi ketiga di kawasan tersebut.
Mengulas lanjut, Saiful Azhar berkata, sekiranya Pejabat Tanah dan Galian Persekutuan menilai kawasan rumah teres yang mereka diami antara RM400,000 sehingga RM500,000, ia sama sekali dianggap tidak munasabah.
Ini kerana katanya, pelbagai kemudahan boleh dinikmati oleh penduduk yang menetap di kawasan sekitar seperti pengangkutan awam, pasar, pusat bandar, sekolah serta hospital.
Difahamkan, Ketua Pengarah Jabatan Tanah & Galian Persekutuan (JKPTG) memberi tempoh masa selama 42 hari kepada pemilik untuk membuat bantahan selepas mereka menghadiri sesi perbicaraan yang bermula pada 15 sehingga 25 November lalu.
Namun, malang bagi pasangan warga emas yang menetap di Blok N Flat Sungai Baru apabila terdapat ahli keluarga yang didapati telah menurunkan tanda tangan sebagai persetujuan kepada projek pembangunan semula kawasan berkenaan.
Bagi Mohd Yusop Suli, 72, dia merasa amat sedih dan kecewa dengan situasi yang berlaku kerana flat berkenaan merupakan satu-satunya tempat untuk berteduh.
“Ada surat yang sampai ke rumah untuk pengosongan unit kerana tanpa disedari adik saya telah menandatangani perjanjian itu kerana rumah ini memang atas nama dia tetapi saya yang bayar,” katanya yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu teksi.
Berdasarkan surat yang ditunjukkan kepada pemberita, ia merujuk kepada Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru – Pengosongan Unit bertarikh 15 November lalu.
Antara lain yang tercatat adalah maklum balas yang perlu dibuat oleh pemilik dalam tempoh 14 hari dengan memilih balasan yang tertakluk di dalam klausa yang dinyatakan.
Pilihan pertama adalah ganti rugi kehilangan punca pendapatan dari hasil sewa hartanah kepada pemilik hartanah manakala pilihan kedua membabitkan rumah kediaman sementara kepada pemilik hartanah di kawasan Pantai Dalam. – MalaysiaGazette