Semua tahu, PH adalah parti yang paling tegas menentang amalan lompat parti. Dalilnya, PH telah berusaha untuk membawa usul bagi mewujudkan Akta Lompat Parti.
Lompat parti atau "katak politik' ini bukan hanya terpakai kepada wakil-wakil rakyat yang melompat dari PH sahaja, tetapi turut melibatkan wakil-wakil rakyat yang melompat dari mana-mana parti selain dari PH.
Mengapa PH tentang 'katak-katak" ini? Jawapannya adalah kerana perbuatan itu merupakan satu pengkhianatan kepada amanah, kepercayaan dan mandat rakyat yang memilih seseorang wakil rakyat. Wakil rakyat tidak boleh menipu rakyat.
Atas prinsip itu lah, saya menjangkakan PH tidak mungkin melanggar prinsip ini di dalam memilih calon di PRN Melaka. Empat Adun yang menjadi katak itu sewajibnya ditolak mentah-mentah sebagai calon bagi mewakili PH. Dua Adun bekas Dap dan Bersatu, mereka bukan sahaja melompat parti bahkan mengkhianati PH sehingga menjatuhkan kerajaan PH. Satu pengkhianatan terbesar dan tidak boleh dimaafkan samasekali.
Dua lagi Adun dari Umno, mereka juga telah mengkhianati Umno dan berpakat dengan dua pengkhianat bekas PH tadi untuk menjatuhkan kerajaan mereka sendiri. Tidakkah itu satu perbuatan yang tidak sihat dalam politik?
Matlamat tidak menghalalkan cara. Apa pun matlamat mereka, samada ikhlas untuk memberi peluang kepada PH kembali berkuasa atau nawaitu mereka untuk kepentingan diri masing-masing atau ada muslihat tertentu, kita tidak boleh menghalalkan cara mereka. Sudah tentu mereka telah mengecewakan pengundi-pengundi yang telah memilih mereka. Apakah ada jaminan kedua-dua mereka tidak boleh jadi katak semula apabila berada dalam PH nanti?
PH tidak perlu ambil masa yang panjang untuk berpegang dengan prinsip. Jangan ambil risiko hanya kerana mahu menang. Jangan lupa, di antara mereka ada kes SPRM yang telah dilaporkan. Bila-bila masa kes ini boleh dijadikan senjata untuk ugut dan sebagainya. Sekiranya PH berjaya membentuk kerajaan negeri Melaka nanti, apakah kita yakin mereka mampu bertahan jika ada ugutan ataupun tawaran lumayan oleh Umno untuk menjatuhkan kerajaan PH sekali lagi?
Jangan ambil risiko. PH harus konsisten berpegang dengan prinsip. Khemah besar itu bukan khusus untuk individu-individu seperti ini. Buat apa sediakan khemah untuk 'katak'?
WFAUZDIN NS