GENEVA: Varian Omicron berkemungkinan tersebar di peringkat antarabangsa seterusnya berpotensi mengakibatkan risiko lonjakan jangkitan global yang “amat tinggi” seterusnya mampu membawa “kesan teruk” di beberapa kawasan, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini.
Agensi PBB itu menggesa 194 negara anggotanya mempercepat vaksinasi golongan berkeutamaan tinggi.
Dalam menjangka peningkatan kes jangkitan, WHO menggesa pelan mitigasi dilaksanakan untuk memastikan perkhidmatan kesihatan tidak terjejas.
“Omicron menunjukkan bilangan lonjakan mutasi yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Ada antaranya membimbangkan kerana berpotensi memberi kesan terhadap trajektori pandemik,” kata WHO.
“Risiko global terhadap varian baharu ini dilihat sebagai amat tinggi.”
Setakat ini, tiada kematian yang dikaitkan dengan Omicron direkodkan, namun kajian lebih menyeluruh diperlukan bagi menilai potensinya untuk mengatasi perlindungan diberikan oleh vaksin atau akibat jangkitan terdahulu, kata pertubuhan itu.
“Peningkatan kes mampu menjejaskan sistem penjagaan kesihatan dan mungkin meningkatkan morbiditi serta kematian. Kesan terhadap golongan berisiko juga tinggi, terutama di negara yang kadar vaksinasinya rendah,” kata WHO.
Varian itu pertama kali dilaporkan kepada WHO pada 24 Nov lalu dari Afrika Selatan, di mana jumlah jangkitan menunjukkan peningkatan tinggi.
Sejak itu ia telah tersebar di seluruh dunia, dengan kes baharu dikesan di Belanda, Denmark dan Australia dalam pada lebih banyak negara mengenakan sekatan perjalanan.
Jepun hari ini menyusuli tindakan Israel menutup sempadannya kepada warga asing.