Harga barang melambung, kenapa lantik penasihat agama PM diutamakan?

 



Pelantikan penasihat agama kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak sesuai dilakukan di tengah-tengah kenaikan harga barangan keperluan harian yang tidak terkawal.



Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Akmal Nasir berkata, pelantikan Mej.Jen. Datuk Seri Jamil Khir Baharom itu hanya membazirkan dana awam untuk membayar elaun serta tidak memberi nilai tambah bermakna kepada negara.



"Pada pandangan AMK perlantikan ini tidak ada keperluan melainkan hanya satu lagi pembaziran dari kerajaan BN hari ini.



"Pada hemat AMK Perdana Menteri sepatutnya fokus kepada masalah kenaikan harga barang keperluan asas yang membebankan rakyat ketika mereka cuba bangkit selepas krisis pandemik dan krisis ekonomi yang melanda negara sejak 20 bulan lalu.



"Sejak Ismail Sabri dilantik sebagai PM isu kenaikan harga barang semakin meruncing dan ianya menjadi semakin teruk selepas Pilihan Raya Negeri Melaka yang mana terdapat banyak laporan kenaikan harga bahan mentah dan keperluan asas.



"Perkara ini ternyata membebankan rakyat dan kegagalan dalam mengawal kenaikan harga barang selain alasan-alasan dangkal punca kenaikan membuktikan kerajaan BN tidak peduli akan 'keluarga Malaysia' yang terbeban," katanya.



Ahli Parlimen Johor Bahru itu juga mempersoalkan apakah Menteri Agama dari Pas, Idris Ahmad tidak mampu menasihatkan PM.



Atau pun PM tidak mahu menerima nasihat agama dari Pas tetapi perlukan nasihat agama versi Umno?



Bagaimanapun, katanya, melantik Jamil yang sebelum ini terlibat dengan dakwaan pembaziran di YaPEIM hanya memburukkan imej PM sendiri.



"Adakah perlantikan pemimpin Umno selaku Penasihat Agama sebagai bukti Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama) YB Idris Ahmad dari Pas tidak berfungsi sebagai Menteri? Atau adakah ini isyarat Umno akan mengenepikan Pas dan

hanya mempergunakan Pas bagi mencukupkan sokongan terhadap Ismail Sabri?



"AMK juga melihat Penasihat Agama yang baru dilantik sebagai bukti kegagalan Duta Khas Ke Timur Tengah dalam menjalankan tanggungjawab sepanjang menjawat jawatan berkenaan sejak 2 April 2020.



"Selain sebagai 'habuan' kepada pemimpin Umno, perlantikan ini juga manifestasi kepada usaha Umno memperkukuhkan kedudukan dan mengenepikan Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.



"Rakyat tidak akan lupa ketirisan yang berlaku ketika Jamil Khir menjawat Menteri Agama, antaranya dakwaan salahguna dana Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) untuk membeli 'golf simulator', membazir wang rakyat menganjurkan kursus perkahwinan di Paris dan kegagalan beliau mengurus Tabung Haji," katanya.



Tegas Akmal, AMK amat dukacita demi kelangsungan hidup Umno, Ismail Sabri memberi 'nyawa' kepada bekas Menteri yang gagal sebagai Penasihat Agama.