Belanja off budget tiada kaitan kerajaan, hutang 1MDB siapa bayar?

 


Perbelanjaan off budget atau perbelanjaan yang disembunyikan dalam Belanjawan perlu diteliti secara rapi.


Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran bahawa perbelanjaan off budget yang tidak dimasukkan ke dalam Belanjawan memang mengurangkan jumlah hutang tetapi sekiranya syarikat berkaitan kerajaan tersebut gagal maka hutang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.


"Dalam menangani Covid dan memacu ekonomi yang segar perlu ada suntikan dana tambahan, sebab itu kita menyokong dana Covid dan Kementerian Kesihatan.


"Namun ada pertimbangan dengan perbelanjaan off budget. Ini jangan dipandang ringan sebab selalunya menteri atau PM menyebut hal ini tidak melibatkan dana kerajaan. Ini satu hal yang mengelirukan kerana tidak benar sama sekali berbelanja berbilion itu tidak menjejaskan dana kerajaan. Dia akan balik kepada kerajaan.


"Saya sentuh off budget kerana ada anggapan ini dana tambahan, tak ada kena mengena dengan kerajaan. Saya sebut ini satu kesilapan.


"Contoh terbesar dan terkenal seantero dunia adalah 1MDB. Ini dirangka oleh kerajaan yang dikatakan off budget tetapi sebagaimana kita tahu sehingga akhir Jun 2021, baki hutang 1MDB kekal pada RM30 bilion. Siapa bayar? Syarikat bayar? Kerajaan. Kerajaan telah menjelaskan RM12 bilion ringgit termasuk bayaran khidmat hutang (faedah).


"RM10 bilion dijelaskan melalui pinjaman manakala bakinya dari akaun amanah. Ada orang kata 1MDB ini fitnah. Fitnah apa, wang dibayar. Sebab itu saya ingin tekankan pertanggungjawaban kepada kerajaan bila ada projek besar," katanya dalam perbahasan Belanjawan 2022 pada sesi pagi Dewan Rakyat hari ini.


Ahli Parlimen Port Dickson itu juga mengaitkan peristiwa kegagalan 1MDB berkenaan dengan syarikat baharu yang akan dibentuk untuk menjalankan perkhidmatan spektrum 5G.


Syarikat berkenaan, katanya disokong kerajaan dan diperuntukkan dana RM15 - 20 bilion dan sekiranya gagal maka akan menambah hutang kerajaan.


"Misalnya projek 5G yang kabur. Ada kata kos RM11 bilion, ada kata RM15 bilion, ada kata mungkin mencecah RM28 bilion untuk tambah baik 4G, kita kata negara mana yang pernah lakukan ini? Saya nak tahu syarikat mana terlibat, agen dan VIP mana yang terlibat?" tanyanya.


Selain itu, Anwar juga membangkitkan pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara terbaharu yang mencatat hampir RM1 bilion ketirisan.


Beliau memberi peringatan tindakan perlu diambil sama ada di peringkat kementerian atau jabatan bagi mengelakkan hal tersebut berulang.


"Laporan Ketua Audit Negara terbaharu menyebut Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan oleh PM pun bocor. Kalau ini tak dapat kita kawal.... belanja RM100 kepada guru, mereka tepuk tangan, belanja RM200 kepada pekerja itu baik tetapi yang bilion dan ratusan juta yang bocor ini, patut ditangani terlebih dahulu.


"Laporan Ketua Audit perlu diambil tanggungjawab oleh Menteri Kewangan atau PM. Sama ada Menteri, KSU atau pengarah jabatan mesti dipertanggungjawabkan. Kalau tidak tahun depan keluar lagi laporan yang sama," kata Anwar.