TIGA KEPELIKAN DALAM KEMELUT MELAKA, ZAHID HAMIDI SAMA MACAM MAHIADDIN SUKA PERGUNA DARURAT UNTUK KUASA


DUN Melaka kini sah telah dibubarkan berikutan setujunya Yang Dipertua Negeri itu, Tun Ali Rustam terhadap cadangan yang dikemukakan Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali berkenaan perkara tersebut.
Namun, pengumuman pembubaran itu tidak dilakukan oleh Ketua Menteri sendiri sebagaimana kebiasaan di negeri-negeri lain apabila DUN diumumkan telah diperkenan atau dipersetujui untuk dibubarkan.
Pembubaran DUN peringkat negeri lazimnya akan diumumkan sama ada oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri, sementara di pusat ia akan dilakukan oleh Perdana Menteri.
Tidak pernah Speaker di mana-mana negeri tampil mengumumkan DUN dibubarkan, begitu juga tidak pernah Speaker Dewan Rakyat mengadakan sidang media mengumumkan Parlimen dibubarkan.
Sebaliknya, nampak pelik di Melaka ini apabila pembubaran DUN yang telah dipersetujui Tun Ali Rustam diumumkan oleh Speaker Melaka yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu, Ab Rauf Yusoh dan bukan oleh Ketua Menteri.
Kenapa tidak Sulaiman sendiri mengumumkannya?
Keluarbiasaan di mana Ketua Menteri sendiri tidak mengumumkan pembubaran DUN itu seolah-olah dengan sendirinya mengesahkan percakapan yang tersebar luas selama ini, malah disebut oleh Idris Haron, bekas Ketua Menteri yang mengumumkan menarik sokongan dua hari lalu bahawa Sulaiman adalah boneka kepada pihak lain dalam menerajui Melaka.
Selain pelik yang pertama kerana Ketua Menteri tidak tampil mengumumkan pembubaran DUN, pelik kedua pula ialah bagaimana Tun Ali Rustam boleh bersetuju dengan cadangan Sulaiman untuk membubarkan Parlimen, sedangkan ketika ini beliau sendiri sedang dikuarantin kerana ada kontak rapat dengan seseorang yang positif Covid19.
Apakah dalam hal ini Tun Ali Rustam tidak dapat merasai bagaimana bahayanya Covid19 kepada kehidupan rakyat Melaka apabila DUN dipersetujui dibubarkan untuk PRN diadakan?
Kenapa Tun Ali tidak menolak cadangan pembubaran itu sebagaimana Tun Khalil Yaakob sebelum ini tidak setuju dengan cadangan pembubaran DUN Melaka oleh Adly Zahari berikutan kerajaan PH dijatuhkan melalui pengkhianatan?
Tambah pelik lagi atau pelik yang ketiga dalam kemelut politik Melaka ini ialah kerana cadangan pembubaran DUN itu paling awal dilontarkan oleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi sebaik saja pengumuman penarikan sokongan empat Adun berkenaan dua hari lalu.
Kata Zahid Hamidi, PRN adalah penyelesaian
terbaik
bagi kemelut di Melaka itu.
“Saya fikir elok kalau diadakan PRN negeri yang baharu supaya DUN dibubar dan kita beri mandat semula kepada rakyat untuk memilih mana kerajaan yang
terbaik
untuk mentadbir negeri Melaka,” ujar beliau.
Sudah tentu Ketua Menteri Melaka mengemukakan cadangan pembubaran kepada Tun Ali Rustam adalah berikutan keinginan yang diluahkan Zahid Hamidi secara terbuka itu.
Begitu pun, setelah DUN Melaka diumumkan dibubarkan, Zahid Hamidi sekali lagi tampil mencadangkan agar darurat diisytiharkan pula bagi menghalang PRN daripada diadakan.
Kata beliau, darurat boleh diisytiharkan untuk menangguhkan PRN di Melaka sebagaimana dilakukan di Sarawak di mana PRN telah ditangguhkan, walaupun tempoh matang DUN sudah berakhir.
Beberapa pihak, termasuk Pemuda UMNO turut bersetuju dengan saranan Zahid Hamidi itu.
Amatlah pelik kenapa setelah mencadangkan pembubaran DUN dan ia telah dipersetujui, kemudian Zahid Hamidi tampil pula dengan cadangan baru iaitu darurat?
Jika benar prihatin dengan wabak Covid19, kenapa sejak awal lagi Zahid Hamidi mencadangkan agar DUN Melaka dibubarkan?
Adakah ini cara UMNO untuk kekal berkuasa dan mengelak kejatuhan kerajaan negeri, meski sokongan majoriti terhadap Ketua Menteri sudah sah tiada lagi?
Ternampak dalam hal ini, UMNO khususnya Zahid Hamidi tiada beza pun dengan Mahiaddin Md Yasin yang cuba berlindung di sebalik darurat untuk memastikan kuasa tidak terlepas ke tangan pihak lain.
Dulu bukan main pandai mengkritik Mahiaddin kerana mempergunakan darurat untuk melindungi kuasa dalam tangannya, kenapa bersikap sama sekarang ini?
Seharusnya jika sudah mencadangkan pembubaran DUN dan ia telah dipersetujui oleh Yang Dipertua Negeri, UMNO tidak lagi cuba melakukan muslihat Pusingan U dengan tidak setuju pula PRN diadakan sambil mengesyorkan darurat sebagai gantiannya.
Adakah UMNO takut berdepan PRN dan tidak yakin mampu meraih kemenangan di Melaka?
Bukankah lebih bermaruah, tambahan lagi sokongan majoriti pun Adun kepada Sulaiman sebagai Ketua Menteri pun sudah tiada, serah sajalah pentadbiran kerajaan negeri kepada pihak yang lebih berhak, lebih berkemampuan dan bukan boneka kepada sesiapa.
Realiti tidak perlu PRN dan tidak perlu juga darurat, yang diperlukan di Melaka ialah kerajaan negeri baru dan Ketua Menteri baru.
Dari meja – Shahbudin Husin 06/10/2021.