/ October 8, 2021
Empat bekas Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri
Sulaiman Md Ali, 4 Oktober lalu, sah telah bertemu Pengerusi Pakatan Harapan
(PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Salah seorang ADUN
terlibat, wakil rakyat Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron mengesahkan pernah
bertemu Ketua Pembangkang tersebut baru-baru ini seperti yang tular di media
sosial.
Idris bersama tiga lagi
bekas ADUN iaitu Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi
Ahmad (Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu).
Turut hadir pada pertemuan
dipercayai diadakan di sebuah hotel di Kota Laksamana, Melaka, 5 Oktober lalu
itu ialah Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari.
“Itu adalah pertemuan
biasa PH, memperkenalkan empat ADUN yang sudah merubah kerajaan. (Kami) minum
malam, itu saja.
“Pertemuan itu tidak
membincangkan hal mengenai tawaran menyertai PKR, tetapi lebih kepada sesi
perkenalan dan berbicara hal ehwal politik semasa,” lapor BH malam tadi.
Menurut Idris yang juga
mantan Ketua Menteri Melaka itu berkata, Anwar dalam perjumpaan itu
menasihatkan semua empat ADUN terbabit kekal bersabar dan menyerahkan
segala-galanya kepada pihak mahkamah.
Jelasnya, Anwar turut
menyatakan perjuangan yang dilakukan itu lebih kepada usaha menegakkan
kebenaran dan mencegah kemungkaran, selain memperjuangkan keadilan sejagat.
“Saya memang pegang kepada
prinsip itu, bahkan ketika dalam Umno dulu pun saya berpegang kepada prinsip
kesaksamaan sejagat. Prinsip itu sama, cuma mungkin kaedah metadologi itu lain
sikit,” tambah Idris lagi.
Kelmarin, Idris
mendedahkan pernah dihubungi dua presiden parti dalam gabungan PH selepas
beliau bersama tiga ADUN lain bertindak menarik sokongan terhadap Sulaiman.