PH sedia terima Ahli Parlimen ‘terlanjur’ khianati gabungan, kata Mahfuz

 

Mahfuz Omar berkata, wajar untuk mereka yang mungkin ‘terlanjur’ dalam langkah sehingga mengabaikan mandat rakyat sebelum ini kembali bersama Pakatan Harapan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) sedia menerima semula Ahli Parlimen yang sebelum ini disifatkan sebagai “terlanjur” sehingga mengabaikan mandat rakyat yang diberikan kepada gabungan itu sebelum ini.

Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar berkata, setiap orang yang melakukan kesilapan akan sentiasa ada ruang keinsafan buatnya, begitu juga dengan Ahli Parlimen yang mahu kembali ke pangkuan PH.

“Jika mereka kembali kepada PH, itu yang terbaik, setiap orang ada kesilapan dan setiap orang diberikan peluang keinsafan untuk kembali kepada (usaha mengembalikan) mandat rakyat.

“Jadi bagi saya adalah wajar untuk mereka yang mungkin ‘terlanjur’ dalam langkah sehingga mengabaikan mandat rakyat tempoh hari, harus kembali bersama Pakatan Harapan.

“Insya-Allah untuk kita bina kembali (negara), kita akan terima dengan hati terbuka tidak ada masalah,” katanya dalam sidang media melalui siaran langsung di Facebooknya hari ini selepas menandatangani akuan berkanun (SD) mencalonkan nama perdana menteri di pejabat Pesuruhjaya Sumpah Rashid, di Alor Setar.

Dalam pada itu Mahfuz berkata, keputusan PH mencalon Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-9 adalah langkah tepat dalam mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Semalam, semua Ahli Parlimen diarahkan menghantar surat akuan menamakan calon pilihan untuk dilantik sebagai perdana menteri ke-9 kepada Istana Negara.

Ahli Parlimen diberi masa selewat-lewatnya 4 petang ini untuk mengemukakan surat akuan secara bertulis.