Panas! Menantu Hadi tidak mengaku gagal buat kerja Exco Kesihatan
Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sewaktu pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, yang menyeru amalan politik aras tinggi dan mengelakkan pertelagahan antara satu sama lain ketika pandemik, perlu dihayati semua pihak termasuk pembangkang.
Setiausaha Pas Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, dalam mendepani pandemik Covid-19 ini, seharusnya semua pihak berganding bahu dan bekerjasama bagi mengekang penularan dan bukannya membuat sebarang dakwaan yang boleh mencetuskan perselisihan faham.
“Sebarang cadangan yang baik terhadap kerajaan amat dialu-alukan demi kepentingan rakyat negeri Perak terutama dalam usaha menangani Covid-19,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak itu kepada Bernama.
Khamis lepas, Sultan Nazrin bertitah agar kerajaan merintis jalan meminimumkan perselisihan politik demi kepentingan negeri dan rakyat.
Mengulas dakwaan terdapat exco yang tidak turun padang bersama Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad bagi menjalankan tanggungjawab khasnya berkaitan Covid-19, Mohd Akmal yang juga ADUN Selama berkata, itu adalah rekaan serta tidak berasas kerana semua exco memberi kerjasama yang baik kepada Menteri Besar dan isu itu sengaja dibuat.
Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria pula berkata, dakwaan itu adalah satu tohmahan untuk mewujudkan persepsi salah dalam kalangan pemimpin dan rakyat di Perak.
Razman, yang juga ADUN Gunung Semanggol berkata, isu menangani Covid-19 adalah tanggungjawab bersama serta meliputi semua lapisan masyarakat dan mana-mana pihak termasuk kem pembangkang seharusnya membantu kerajaan negeri dalam usaha mengekang penularan pandemik itu.