Kalau PM tidak mahu letak jawatan, percepatkan usul undi Parlimen

 

Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mempercepatkan usul undi di Parlimen jika masih enggan meletakkan jawatan.



Ketua Pembangkang itu berkata, sesiapa pun yang memimpin harus mengambil kira suasana politik semasa yang memerlukan kerjasama semua pihak supaya dapat membentuk kerajaan yang stabil dengan dasar yang jelas.



“Tidak seperti yang ada sekarang, tetapi, sekarang sudah menjadi sejarah kerana terbukti Muhyiddin sudah hilang majoriti.



“Kalau diikutkan dan kalau beliau faham Perlembagaan Persekutuan, faham demokrasi dan taat kepada institusi diraja khususnya Yang di-Pertuan Agong, beliau harus meletakkan jawatan.



"Ini bukan soal harapan, ini soal keperluan. Kalau Perdana Menteri dah jatuh, tak mahu letak jawatan, mesti bawa usul undi. Ini sistem apa ini, bukan soal secara peribadi tapi juga yang bersekongkol dengan dia.



"Ini bukan sahaja soal perlembagaan tetapi juga institusi raja. kita rakyat mematuhi Rukunegara, bila raja mengambil keputusan berdasarkan keluhuran perlembagaan dan undang-undang.



"Bagaimana seorang Perdana Menteri langgar ini semua hanya nak pertahankan kuasa? Lebih parah ada kuncu-kuncu yang sanggup menggadaikan prinsip, menghina raja semata-mata nak pertahankan kuasa," katanya.



Dalam pada itu, beliau selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan pihaknya akan mengemukakan calon dari PH, bukan dari mana-mana pihak lain.



“PH punya pendirian adalah untuk mengemukakan calon PH kerana kita jadi blok yang terbesar, tidak berbangkit soal memberikan sokongan kepada calon-calon lain.



“Itu pendirian supaya satu calon daripada PH bagi mengelakkan kekeliruan kerana ada khabar angin kononnya ada rundingan untuk menjual (nama) orang lain.



“Setakat Majlis Presiden yang diputuskan, ini pendirian kita, tetapi, ini tidak mengelakkan kita bekerjasama dengan semua pihak,” katanya.