Sama ada 8, 11, 12 atau 14 Ahli Parlimen UMNO yang telah menarik sokongan terhadap kerajaan PN, ia tetap menyebabkan Mahiaddin Md Yasin hilang sokongan majoriti.
Tidak musasabah sama sekali bila beliau memaklumkan kepada Agong adanya akuan sokongan yang mencukupi terhadapnya di sebalik 8 orant Ahli Parlimen UMNO di fasa pertama yang menarik sokongan terhadapnya.
Lebih tidak munasabah lagi Mahiaddin memiliki sokongan mencukupi ialah berikutan Zahid Hamidi pada petang semalam telah mengutus warkah tambahan kepada Agong memaklumkan ada beberapa lagi Ahli Parlimen UMNO turut menarik sokongan.
Ketika disokong UMNO pun, majoritinya hanya cukup-cukup makan atau mungkin tidak mencukupi, bagaimana Mahiaddin boleh mendakwa sokongan dimilikinya masih ada, meskipun sejumlah Ahli Parlimen UMNO sudah sah mengumumkan penarikan sokongan mereka.
Jika begitu, beranikah beliau mendedahkan secara terbuka sokongan dimilikinya?
Namun demikian, di sebalik semua orang sedar Mahiaddin adalah Perdana Menteri tanpa sokongan majoriti dan tanpa rasa malu untuk berlama-lama lagi di jawatannya itu, beliau dalam masa yang sama setuju keabsahannya diuji melalui undi percaya di Parlimen pada September depan.
Pengakuan itu dizahirkannya di depan Agong ketika majlis menghadap sebelum mesyuarat kabinet semalam.
Soalnya, kenapa September?
Jika benar Mahiaddin ada sokongan mencukupi sebagaimana didakwanya ketika menghadap Agong, mengapa ia tidak diuji serta-merta?
Logiknya, menangguhkan sehingga ke September bermakna Mahiaddin memang tidak ada sokongan mencukupi dan dengan itu memerlukan lebih masa untuk meneruskan usaha bagi mencukupkan angka.
Kalau betul sokongan telah mencukupi, bukan saja mustahil beliau mahu menangguhkannya untuk dibuktikan, bahkan tentunya bimbang kemungkinan angka jadi berkurangan bersama ruang masa yang terus terbuka.
Makanya, jalan selamat ialah membenarkan ujian keabsahannya dilakukan dengan serta-merta.
Tetapi, dengan menunggu sehingga September, apakah ini bermakna ada Ahli Parlimen yang bakal digamit dan dibeli selepas ini?
Siapakah Ahli Parlimen sasaran untuk dibelinya kali ini?
Bagaimana jika gagal melakukan sebarang pembelian dan apa helah Mahiaddin seterusnya?
Masih sediakah beliau berdepan undi percaya dalam keadaan angka yang menyokongnya masih tidak mencukupi?
Menoleh ke belakang bagaimana sebelum ini Mahiaddin melengah-lengahkan pembukaan Parlimen, menggantungnya menggunakan alasan darurat, hanya berani mengadakan sidang khas Parlimen tanpa perbahasan serta pengundian dan kemudian menangguhkannya melalui sandaran Covid19 yang rapuh, walhal sebenarnya kerana semakin tak tertahan dengan asakan blok pembangkang, janjinya untuk membenarkan usul percaya bagi menentukan kedudukanya tetap menimbulkan keraguan.
Beliau seperti ada agenda atau helah lain di sebalik tiba-tiba setuju kedudukannya diuji melalui usul percaya di Parlimen pada bulan September dan bukannya serta-merta.
Apakah jaminan sidang Parlimen September nanti tidak dibatalkan atau ditangguh lagi dengan alasan yang lain, mungkin kerana jumlah kes harian Covid19 telah mencecah 20 ribu atau 30 ribu?
Apa pun, blok pembangkang harus sentiasa hati-hati dan waspada kerana yang nyata, Mahiddin tidak akan sesekali sedia menyerahkan kuasanya jika beliau tahu akan kalah dalam pengundian usul percaya itu nanti.
Sebaik-baiknya, blok pembangkang bersama dengan UMNO harus terus mengasak, menekan dan mencari jalan agar Mahiaddin dijatuhkan sesegera mungkin sebelum sidang Parlimen dijadual diadakan pada September nanti.
Sebagaimana belum pernah ada Perdana Menteri sebelum ini dijatuhkan di Parlimen, Mahiaddin tentu juga ingin mengelak sejarah itu tertimpa kepada dirinya.
Pokoknya, jangan tunggu hingga September untuk menjatuhkan Perdana Menteri, bimbang nanti bersama kuasa dan helah barunya, semua kita akan terus sengsara kerana Mahiaddin berjaya lagi mengekalkan kedudukannya.
Oleh itu, apa kata ditunjuk dan dipaparkan secara terbuka angka yang tidak bersama Mahiaddin dalam sehari dua ini, biar bukan saja Agong lebih jelas mengenainya, tetapi juga agar rakyat dan dunia tahu tentangnya.
(ShahbudinHusin 05/08/2021)