KEPIMPINAN PM YANG JELAS GAGAL - RAKYAT KINI TERTUMPU KEPADA ISTANA

 

Saya mewakili GERAK Negeri Pahang sekali lagi merafak sembah Kebawah Duli Tuanku Yang Dipertuan Agong untuk menilai semula kedudukan PM sekarang.

Bukan rahsia lagi bahkan dunia mengetahui akan kegagalan PM sekarang untuk menguruskan negara ini dengan baik. PM telah mengangkat sumpah di hadapan Tuanku dan berjanji untuk menjalankan tugas dan amanah yang dirampas dari mandat rakyat, ternyata jawatan yang diperolehi hasil dari pengkhianatan itu pun gagal dilaksanakan.

Cuba sebut satu sahaja kejayaan Muhyiddin. Beri duit BPN kepada rakyat waktu Covid? Dapat menjadikan Mak Cik Kiah kaya raya dengan meniaga goreng pisang? Dapat mengeluarkan pelaburan dari dalam negara ke luar negara? Lebih banyak masjid ditutup? Lebih banyak bazar ditutup? Lebih ramai penganggur? Aktiviti judi berjaya ditingkatkan? Miliki menteri paling ramai dalam sejarah? Cuba sebut mana satu kejayaan Muhyiddin?

Rakyat hanya mengharapkan agar Istana memahami perasaan rakyat sekarang. Negara kita perlukan seorang pemimpin yang rakyat redha atau paling tidak direstui oleh Ahli-Ahli Parlimen. Berapa jumlah MP yang restu Muhyiddin sekarang? Melantik Imam solat pun perlu direstui oleh makmum. Ini kan pula jawatan pemimpin negara. Jangan pandang remeh dan sambil lewa kerana kesannya amat besar kepada rakyat dan negara.

Situasi politik dan ekonomi negara sekarang amat membimbangkan. Apakah kita perlu tunggu kerosakan dan kemusnahan lebih teruk berlaku baru kita mahu bertindak? Apabila negara ini hancur, tiada siapa yang boleh selamat termasuk di singgahsana. Waktu itu, penyesalan tidak berguna lagi.

WAN FAUZULDIN WAN SAMAD

Ketua GERAK Pahang