AKHIRNYA TERBUKTI PKP SENJATA SEBENAR MELAWAN COVID19, DARURAT HANYA UNTUK MELINDUNGI KERUSI PERDANA MENTERI

 

Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP buat kali ketiga kini sah dikuatkuasakan ke seluruh negara bermula 12 Mei hingga 7 Jun depan.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin dalam satu kenyataan media petang tadi selepas mempengerusikan mesyuarat MKN di Putrajaya.

Untuk pertama kali, pengumuman PKP hanya dilakukan melalui kenyataan media saja, tidak lagi melalui perutusan khas seperti sebelum ini.

Agaknya Mahiaddin sekarang sudah sedar perutusan khas yang selalu dibuatnya selama ini tidak mampu menyumbang apa-apa, kecuali menambahkan lagi kebencian rakyat terhadapnya saja.

Menurut beliau lagi, langkah menguatkuasakan PKP ke seluruh negara ini adalah berikutan kes-kes harian yang semakin meningkat, di samping kewujudan varian baru Covid19 dengan kadar jangkitan yang lebih tinggi.

Apakah makna apabila PKP dikuatkuasakan semula?

Pertama, perlaksanaan PKP yang diumumkan Mahiaddin kali ini dengan jelas memperlihatkan kerajaan PN tiada kemampuan dan amat lemah dalam tindakannya mengurus negara.

Baru tiga hari lalu, Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan beberapa daerah di Selangor dan dua tiga negeri lain dikenakan PKP, disusuli dengan Wilayah Persekutuan sehari kemudiannya.


Semalam juga ada pengumuman daerah baru dikenakan PKP, tapi alih-alih hari ini Mahiaddin sendiri mengumumkan seluruh negara dikuatkuasakan PKP.

Kenapa setiap hari keputusan berubah-ubah sedangkan semua mesyuarat MKN dipengerusikan oleh orang sama iaitu Mahiaddin sendiri?

Bukankah data dan sains berkaitan Covid16 sentiasa ada dalam tangan dan boleh dijangka peningkatannya?

Ternampak di sini bukan saja rakyat jadi pening dengan keputusan yang berubah-ubah itu, Mahiaddin sendiri terlihat dalam kepeningan dan tidak mampu membuat keputusan yang betul ketika krisis melanda.

Kedua, dengan perlaksanaan PKP buat kali ketiga ini juga menunjukkan senjata sebenar untuk memerangi Covid19 bukanlah darurat seperti yang beria-ia dihujahkan sebelum ini oleh Mahiaddin dan kerajaan PN.

Jika akhirnya PKP juga yang dilaksanakan untuk melawan Covid19, apa sebenarnya guna darurat dikuatkuasakan?

Darurat dalam hal ini ternyata tidak berfungsi untuk melawan Covid19 dan perlaksanaan PKP buat kali ketiga ini secara langsung mengesahkan darurat hanya semata-mata bertujuan untuk melindungi kerusi Perdana Menteri yang sedang diduduki Mahiaddin daripada digugat.

Barulah kita faham, meski pun cadangan pertama ditolak Agong, Mahiaddin terus berusaha meyakinkan baginda untuk melaksanakan juga darurat itu.

Tidakkah Mahiaddin dianggap telah memperdaya Agong berhubung tujuan darurat dilaksanakan?

Sekarang, apa jadi kepada darurat?

Apakah ia hanya untuk menekan rakyat dengan pindaan undang-undang yang membolehkan denda lebih besar dikenakan kepada mereka yang melanggar SOP dan menyebar berita tidak benar, selain bagi kerajaan menjarah dana KWAN dan membolehkan Mahiaddin berbelanja sesuka hati wang negara?

Dalam perlaksanaan PKP kali ini juga, di samping beberapa larangan dikuatkuasakan, langsung tiada bantuan kepada rakyat diumumkan seperti moratorium dan sebagainya.

Kenapa ini berlaku?

Sebabnya tidak lain ialah kerana sekarang ini dana negara sudah kehabisan dan sejak Mahiaddin menerajui negara, tiada pertambahan dalam kewangan negara berjaya diusahakan/

Maknanya, Mahiaddin sekali lagi gagal dan tidak layak menjadi Perdana Menteri yang dapat melindungi rakyatnya sendiri, apalagi jika PKP yang masih banyak kelonggaran ini memungkinkan wabak terus meningkat di masa depan. 


(ShahbudinHusin 10//05/2021)