BILA PAS MAHU TUNAIKAN JANJI UNTUK SELESAIKAN KOS SARA HIDUP?
1. Rungutan orang ramai tentang kenaikan harga barang terutama
barang mentah dan segar seperti ayam, telur dan sayur di waktu Ramadhan ini dan
dijangka meningkat lagi menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah sahih.
Keadaan ini turut diakui kerajaan Perikatan Nasional (PN) sepertimana kenyataan
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, YB Che Abdullah Mat Nawi pada
17 April lalu. Kenaikan harga barang sudah pasti meningkatkan kos sara hidup
rakyat dan ia berlaku akibat inflasi adalah amat membimbangkan. Ini menunjukkan
kegagalan kerajaan PN menguruskan ekonomi negara dengan baik.
2. Inflasi jika tidak dikawal akan menyebabkan krisis ekonomi
rakyat semakin kronik, apatah lagi kadar pengangguran yang meningkat kepada
782,500 orang pada kadar 4.9 peratus pada Januari 2021. Jika indiviu yang
bekerja sekalipun, gaji yang diterima tidak cukup menangani kos sara hidup
sepertimana gaji graduan hanya sekitar RM1,001 hingga RM1,500. Setakat hari
ini, tiada apa-apa perancangan strategik kerajaan PN menangani masalah kos sara
hidup rakyat. Infliasi pula dijangka meningkat kepada 5 peratus dan keadaan ini
menunjukkan PN tiada kehendak politik (political will) untuk menyelesaikan masalah
rakyat.
3. Tidak seperti kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai
kehendak politik menyelesaikan isu kos sara hidup dan kenaikan harga barang
melalui Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dan Skim Kawalan Harga Musim
Perayaan (SKHMP). Langkah ini berjaya mengawal inflasi sehingga hanya 0.7
peratus bagi tahun 2019 dan ekonomi pula berkembang sebanyak 4.3 peratus bagi
tahun yang sama. Komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan PH ini adalah kerana
tadbir urus negara sepanjang 22 bulan tersebut dipandu oleh manifesto PH
berbanding PN yang tiada manifesto. Justeru, dakwaan bahawa PH tidak menunaikan
janji kini terbukti meleset.
4. Kini, rakyat tertanya-tanya bilakah PAS mahu menunaikan janji
untuk menyelesaikan masalah kos sara hidup seperti mana kenyataan Presiden PAS
pada 9 Mac 2018. Walaupun PAS kalah dalam PRU ke-14 yang lalu, namun tindakan
mereka yang bersekongkol membentuk kerajaan tebuk atap menuntut PAS menunaikan
janji pilihanraya ini. Baldatun thayyibatun dalam firman Allah dalam Surah Saba’
ayat 15, menuntut sesebuah kerajaan menyelesaikan masalah rakyat dan bukannya
mementingkan perebutan kuasa. Kegagalan PAS untuk menyelesaikan masalah kos
sara hidup ini memprejudiskan perjuangan Islam yang dibawa PAS yang dilihat
lebih berminat kepada kepentingan kuasa.
Faiz Fadzil
19 April 2021