Dewi Nur Harasha Alias
Februari 20, 2021
Ibu bapa menzahirkan perasaan bimbang apabila faktor usia anak yang masih kecil berkemungkinan tidak mampu untuk mematuhi SOP sepenuhnya. - Foto BERNAMA
GEORGE TOWN: Sebahagian besar golongan ibu bapa di Pulau Pinang masih meluahkan perasaan bimbang bagi melepaskan anak mereka untuk kembali semula ke sekolah.
Meskipun kerajaan telah membenarkan pembukaan semula sekolah secara berperingkat namun perasaan takut dan bimbang masih wujud dalam kalangan ibu bapa.
Menurut Azlan Anwar yang merupakan seorang pengurus syarikat, beliau berkata, faktor usia anak yang masih kecil membuatkan pihaknya bimbang terutamanya melibatkan tahap kebersihan.
“Anak saya masih kecil lagi jadi mungkin SOP mereka tidak dapat patuh sepenuhnya khususnya penjarakan sosial dan sebagainya,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Sabtu.
Sementara itu, menurut seorang lagi bapa, Azad Wahab berpendapat keadaan angka kes yang masih lagi berada dalam kedudukan yang tinggi juga mencetuskan kebimbangan ibu bapa.
“Kes kita lihat masih bertambah, bila mereka balik di rumah juga anak-anak yang lain ramai dan keadaan di sekolah sekarang tidak seperti dulu sebab kita dalam keadaan normal baharu,” katanya lagi.
Kerajaan pada Jumaat memutuskan murid sekolah rendah bagi darjah satu dan dua serta pra sekolah bakal memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka bermula 1 Mac ini.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut memaklumkan, sesi persekolahan bagi murid darjah tiga, empat, lima dan enam pula akan bermula pada 8 Mac.