BERANI TOLAK PN DAN BERSATU BUKTI UMNO KUASA BESAR SEBENAR


 Walaupun sehingga kini belum ada kenyataan rasmi daripada UMNO berhubung keputusan sebenar mesyuarat MT Jumaat lalu, desas-desus mengenai pendirian parti itu dalam menghadapi PRU15 akan datang tampaknya amat meresahkan Bersatu dan PN.

Diperkatakan ramai, MT UMNO dalam mesyuaratnya di Janda Baik itu kekal dengan pendirian enggan bekerjasama dengan Bersatu serta PN dan keputusan tersebut bukan saja tidak berbeza dengan ketetapan sebelum ini, malah senada dengan usul yang telah diluluskan oleh majoriti bahagian-bahagian UMNO.

Keberadaan UMNO dalam kerajaan PN hanyalah setakat tempoh Parlimen berakhir atau sehingga pilihanraya diadakan di mana dalam PRU15, parti itu akan berlawan dengan Bersatu serta PN.

Kalau ada pun yang UMNO ingin bekerjasama, ia hanyalah dengan Pas, tetapi itu pun bergantung kepada keinginan parti Islam itu sama ada masih mahu meneruskan muafakat bersama MN atau sebaliknya.

Berikutan itu, beberapa pemimpin Bersatu dalam pelbagai saluran media mula tampil menyerang UMNO berdasarkan keengganan bekerjasama itu.

Rata-rata menggunakan sentimen Melayu dan penyatuan ummah dengan mengatakan keputusan UMNO itu akan menyebabkan perpecahan di kalangan orang-orang Melayu.

Semua keputusan UMNO itu, kata mereka, hanya memperlihatkan keinginan parti tersebut memperolehi lebih banyak kuasa dalam kerajaan.

“Kalau UMNO fikirkan soal perpaduan Melayu, keputusan enggan bekerjasama dengan Bersatu dan PN pasti tidak timbul,” demikian antara kesimpulan yang diluahkan beberapa pemimpin Bersatu.

Ada juga pemimpin Bersatu yang mengingatkan UMNO bahawa era parti itu sebagai kuasa besar dalam lanskap politik negara ini sudah pun berakhir.

Sehubungan itu, kata pemimpin berkenaan, UMNO harus bekerjasama dengan Bersatu dan PN jika mereka ingin menang pilihanraya dan mampu membentuk kerajaan.

Bersama pendirian tersebut, ada juga pemimpin Pas yang pro kepada Bersatu tetap menaruh harapan agar tiga parti Melayu – UMNO, Bersatu dan Pas kekal bekerjasama dalam PRU15 akan datang.

Selain untuk mempertahankan kuasa Melayu, pemimpin berkenaan berkata, keengganan UMNO bekerjasama dengan PN hanya akan menyebabkan DAP berkuasa semula di negara ini.

Jika diperhati, banyak lagi ulasan bernada bimbang diluahkan pemimpin Bersatu dan Pas berhubung pendirian UMNO itu.

Mereka semuanya bercakap dengan hujah suci, sambil menjual tema agama dan bangsa bagi melindungi niat sebenar untuk mengekalkan keseronokan berkuasa yang tidak pernah dirasai sebelum ini.

Di samping nikmat kuasa untuk diri sendiri, perkara pokok yang terus cuba disembunyikan oleh Bersatu dan Pas di sebalik inginkan kerjasama UMNO dalam PRU akan datang tidak lain ialah untuk memastikan Muhyiddin Yassin terus dikekalkan sebagai Perdana Menteri.

Bagi mereka, hanya dengan Muhyiddin dikekalkan sajalah yang dapat memastikan segala nikmat keduniaan yang diperolehi sekarang lebih berpanjangan tempohnya.

Dengan itu bermakna, pertandingan tiga penjuru dan tiada kerjasama daripada UMNO kepada Bersatu dan PN dengan sendirinya akan menyebabkan nyawa politik Muhyiddin jadi pendek.

Jika Muhyiddin pendek nyawa politiknya, Hamzah Zainuddin, Azmin Ali dan gerombolannya yang lain, termasuk Hadi Awang, juga berpotensi besar bakal hilang kuasa masing-masing.

Berdasarkan trend yang sentiasa menaik ketika ini, menolak atau menjatuhkan Muhyiddin adalah keinginan utama majoriti rakyat negara ini.

Dengan tempoh setahun yang lalu sejak PN berkuasa hanya dipenuhi dengan kecelaruan dan ketidaktentuan, malah banyak janji perubahan terbukti sekadar omong kosong, membiarkan lagi Muhyiddin kekal seumpama memilih neraka kehidupan saja layaknya.

Untuk itu, jika UMNO ingin dilihat bersama naluri rakyat rakyat, kekal dengan pendirian enggan bekerjasama dengan Bersatu dan PN serta membiarkan pertandingan tiga penjuru berlaku dalam PRU akan datang adalah pilihan yang terbaik sekali.

Keputusan itu bukan saja bermakna UMNO senada dengan kehendak rakyat dan dapat mengelak turut sama ditolak sepertimana keinginan mereka menjatuhkan Muhyiddin, malah tiga penjurulah yang akan membuktikan UMNO adalah kuasa besar yang sebenar dalam lanskap politik negara.

Sedia bersama dan bekerjasama, awal-awal lagi akan menjadikan UMNO bukan lagi kuasa besar, sebaliknya akan membuatkan ular lidi Bersatu terus membesarkan lagi kepalanya sebagai kuasa besar dengan impian sebenar untuk menelan dan menjadikan ular sawa UMNO sebagai makanannya. 

(Shahbudindotcom 25/02/2021)