Bahawa pucuk kepimpinan Majlis Profesor
Negara (MPN) telah mengadakan perbincangan berkaitan dengan Pengisytiharan
Proklamasi Darurat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan
Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada selasa, 12 Januari 2021 yang
lalu. Proklamasi ini akan berkuat kuasa sehingga 1 Ogos 2021.
Seperti diumumkan oleh pihak media massa,
proklamasi ini diperkenannya oleh Tuanku Yang di-Pertuan Agong mengikut Fasal
(1) Perkara 150, Perlembagaan Persekutuan, ekoran sembah nasihat dan penjelasan
YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, selaku Perdana Menteri, mengenai penularan wabak
COVID-19. Sembah nasihat YAB Perdana Menteri telah turut disertai oleh sembah
taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Peguam Negara
Tan Sri Idrus Harun, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Affendi Buang, Ketua Polis
Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor
Hisham Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani
Salleh.
MPN memahami dan menjunjung kasih atas
perkenan Al-Sultan Abdullah mengambil kira keselamatan diri rakyat dan
kepentingan negara berdasarkan statistik semasa COVID-19, dan juga pandangan
Raja-Raja Melayu, sebelum memberikan perkenan kepada permohonan mengisytiharkan
Proklamasi Darurat tersebut.
Walaupun begitu, MPN memohon merafak sembah
memaklumkan bahawa Proklamasi Darurat 2021 ini adalah tidak sesuai
diisytiharkan ketika ekonomi Negara berada pada tahap penguncupan yang sangat
membimbangkan, bukan saja akibat daripada penularan wabak COVID-19, tetapi juga
ekoran kehilangan keyakinan para usahawan tempatan dan para pelabur
antarabangsa terhadap iklim ekonomi serta kestabilan politik dan sistem
pemerintahan Malaysia.
Pihak MPN berpandangan bahawa apabila
Proklamasi Darurat diisytiharkan dan operasi institusi Parlimen digantung
maka secara otomatik sistem pemerintahan Malaysia yang berteraskan amalan
demokrasi berpilihan raya dan berparlimen telah tumbang serta merta,
menyebabkan Kabinet Kerajaan tidak lagi boleh berfungsi secara sah seperti
biasa. Ini ialah kerana Kabinet Kerajaan yang demokratik hanya boleh wujud dan
bergerak secara sah ketika Parlimen boleh bersidang dan beroperasi secara sah,
dan tidak digantung oleh Proklamasi Darurat. Pada hakikatnya, Proklamasi
Darurat adalah pemaksaan kuasa pemerintahan secara totalitarian dan bercirikan
tirani yang sangat merbahaya. Dunia sedang dan akan terus memerhatikan tingkah
laku pemerintahan Malaysia dengan teliti dan curiga.
Apabila Proklamasi Darurat diisytihar dan
dikuatkuasakan dengan menggantung fungsi Parlimen, tetapi membenarkan Kabinat Kerajaan
terus beroprrasi seperti biasa, maka ini adalah satu paradoks dan anomali yang
bercanggah dengan prinsip demokrasi, punca kuasa dan kuatkuasa yang terpelihara
dalam Perlembagaan Persekutuan. Dengan itu, satu krisis Perlembagaan yang
serius telah pun tercetus. Krisis ini akan menjadi lebih parah lagi jika
Perdana Menteri yang sedia ada, yang ternyata telah kehilangan sokongan
majoroti dalam Parlimen, dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Bebas Darurat
2021 kelak. Ini menjadikan orang yang sama, ia itu orang yang tidak mendapat
sokongan majoriti dalam Parlimen, masih memimpin Kabinet yang sepatutnya sudah
terbubar, dan mempengerusikan satu “Kabinet Darurat” berlandfaskan Proklamasi
Darurat tersebut.
Kewenangan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin
memohon kepada Yang di-Pertuan Agong supaya Proklamasi Darurat 2021 ini
diperkenankan juga boleh dipersoalkan keabsahannya. Ini kerana ketika YAB
Tan Sri Muhyiddin mengadap Yang di-Pertuan Agong, beliau telah pun tidak lagi
mempunyai sokongan majoriti dalam Parlimen. Ini melahirkan suasana di mana
sebuah kerajaan yang tidak sah dan telah kehilangan sokongan, kini sedang
menggunakan kuasa pemerintahan darurat yang diproklamasikan secara tidak sah.
Ini bermakna, Malaysia tidak lagi mempunyai sistem pemerintahan yang
menghormati kedaulatan undang-undang secara jujur dan sah.
Penularan wabak COVID-19 memang dapat
ditangani menggunakan peruntukan undang-undang di bawah Akta 342 (Akta
Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988). Akta ini boleh dipinda
bagi tujuan menangani penularan wabak COVID-19 ini dengan lebih berkesan. Oleh
itu, Pengisytiharan Proklamasi Darurat 2021 ini sesungguhnya tidak perlu
persembahkan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Yang di-Pertuan Agong
untuk diperkenankan.
MPN merafak sembah memohon Yang di-Pertuan
Agung perkenan menerima beberapa orang wakil MPN untuk datang mengadap dan
mempersembahkan pandangan para ilmuwan daripada sudut perlembagaan dan
perundang-undangan, ekonomi dan perdagangan, politik, demokrasi dan sistem pemerintahan,
pendidikan dan pengajian tinggi, dan prinsip maqasyid syariah, dengan tujuan
membantu proses pemulihan kesejahteraan rakyat dan negara Malaysia.
*MAJLIS PROFESOR NEGARA (MPN)*