Dengan berkongsi kuasa dalam kerajaan tebuk atap yang kini sudah
hilang majoriti, Pas bertegas sebarang percubaan untuk cuba mengganggu
pelaksanaan darurat dalam usaha kerajaan mengawal penularan Covid-19 perlu
ditangani.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ganggu gugat
itu perlu dicegah dan ditolak demi keselamatan rakyat.
“Perkara yang tidak patut kita lakukan pada masa ini adalah
berbalah siapa nak menjadi Perdana Menteri, nak melantik siapa menjadi Perdana
Menteri atau soal undi (jumlah) majoriti di Parlimen.
“Ini semua kerja mengarut, tak peka dengan wabak yang menimpa
rakyat. Ini mesti ditolak dan dicegah.
“Apa sahaja yang boleh mengganggu proklamasi darurat ini, mesti
ditangani dengan peraturan tegas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi webinar
bertajuk ‘Proklamasi Darurat: Apakah Satu Keperluan?’ anjuran Gerakan Pembela
Ummah, semalam.
Sesi webinar itu juga disertai Timbalan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary serta Pengerusi Biro
Perlembagaan dan Undang-Undang Majlis Perundingan Melayu, Mohd Khairul Azam
Abdul Aziz.
Turut serta Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan)
Pusat Polisi Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi
Yusof.
Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat berkata,
semua pihak tidak harus ragu dengan darurat kerana pelaksanaannya adalah demi
kemaslahatan.
“Dalam suasana hari ini, darurat mesti diisytiharkan
serta-merta. Bagaimana kita boleh menilai darurat itu, sama ada ditamatkan atau
sebaliknya dan ia boleh dibincangkan.
“Tindakan yang diambil kerajaan ketika ini adalah untuk
melaksanakan pencegahan wabak Covid-19.
“Dalam ajaran Islam ada semua perkara, Sebab itu kita jangan
ragu, syak atau was-was kerana kita mempunyai tanggungjawab kepada negara,”
katanya.
Hadi berkata demikian ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN)
hanya memiliki sokongan 109 Ahli Parlimen sahaja daripada 220 ahli Dewan
Rakyat.
Kelmarin, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar
Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang mendakwa seramai 114 hingga 115 Ahli
Parlimen bersetuju sidang Parlimen diadakan segera dengan tumpuan menyelesaikan
masalah Covid-19 dan ekonomi.