Banjir makin buruk MB Pahang masih terkial-kial
Keadaan banjir di Pahang yang semakin buruk memerlukan Menteri Besar (MB) Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail segera meluluskan bantuan kecemasan malapetaka banjir.
Bagi ADUN Semambu, Lee Chean Chung, kerajaan PN tidak perlu menunggu keadaan menjadi lebih buruk kerana jumlah mangsa banjir terkini telah pun mencecah 26,760 orang.
“Pengalaman saya melawat mangsa-mangsa banjir keadaan kebanyakan mereka agak membimbangkan. Wabak Covid 19 sejak awal tahun ini telah memburukkan keadaan ekonomi mereka, dengan banjir yang melanda lebih memudaratkan kehidupan mangsa-mangsa yang hilang harta, rumah dan adakalanya nyawa.
“Ini menjadikan krisis banjir kali ini satu krisis luar biasa. Krisis ini merupakan kejadian berganda dan umpama sudah jatuh ditimpa tangga. Rakyat dan mangsa yang terhimpit ini amat memerlukan perhatian kerajaan dan pemimpin yang prihatin.
“Maka dengan ini saya menggesa MB Pahang Datuk Seri Wan Rosdy segera meluluskan bantuan banjir kepada mangsa-mangsa di Pahang yang kian bertambah,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Lee lagi, keadaan cuaca yang masih buruk dengan amaran Jabatan Meteorologi Malaysia bahawa hujan lebat akan berterusan di beberapa kawasan pasti menambahkan mangsa banjir yang perlu dibantu untuk memulihkan kehidupan mereka.
Sehingga hari ini, jumlah yang dipindahkan di Pahang membabitkan 7,222 keluarga yang ditempatkan di 276 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sembilan daerah iaitu Temerloh (67), Lipis (39), Maran (35), Raub (33), Jerantut (31), Pekan (26), Kuantan (25), Bera (12) dan Rompin (8).