KUALA
KANGSAR: Krisis politik hingga
menyebabkan pertukaran kerajaan dan Menteri Besar bukanlah perkara yang boleh
dibanggakan.
Sebaliknya,
Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan perkara itu merupakan
cerminan kepada kegagalan sebuah pentadbiran.
“Sejak
berlangsungnya Pilihan Raya Umum keempat belas, sudah tiga kali istiadat
pelantikan Menteri Besar dilakukan; perkara yang mencatatkan sejarah baharu
yang tidak pernah berlaku dalam sesuatu penggal Dewan Negeri sebelum ini.
“Tetapi
perkara ini bukanlah sejarah yang mahu dibanggakan; perkara yang berlaku akan
tercatat dalam sejarah sebagai cerminan kegagalan dan bukannya kejayaan.
“Kegagalan kepimpinan dalam kalangan ahli-ahli politik
mendapat jaminan sokongan padu secara konsisten untuk membolehkan fikiran dan
tenaga ditumpukan mentadbir urus negeri secara terbaik bagi kepentingan
rakyat,” titah Sultan Nazrin.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah
Jawatan Menteri Besar Perak Ke-14, Datuk Saarani Mohamad di Istana Iskandariah,
di sini hari ini.
Tambah Sultan Nazrin, setiap ahli Dewan Negeri yang dipilih adalah atas kepercayaan rakyat yang meletakkan harapan bahawa ADUN tersebut akan dapat membantu mereka.
Mereka diharapkan untuk menambah baik kawasan tempat
tinggal, membantu menyediakan pelbagai keperluan dan perkhidmatan, membantu
meningkatkan taraf ekonomi serta membantu memenuhi sebanyak mungkin keperluan
sosial mereka.
“Rakyat dalam semua kawasan Dewan Negeri, sama ada diwakili
oleh ADUN Perikatan Nasional atau Pakatan Harapan, sama ada orang Melayu, orang
Asli, orang Cina dan orang India, begitu juga penganut Islam, penganut
Kristian, penganut Hindu dan pengikut Buddha, serta yang berpegang kepada
pelbagai kepercayaan, mempunyai keperluan yang sama, menanggung penderitaan
yang sama, memiliki harapan yang sama, menagih perhatian yang sama.
“Semua rakyat di negeri ini, Melayu, Orang Asli, Cina,
India; Islam, Kristian, Hindu dan Buddhist, ialah makhluk ciptaan Ilahi;
kesemua mereka rakyat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.
"Kesemuanya mahukan sebuah negeri yang aman lagi makmur, dengan
pemerintahan yang melaksanakan keadilan dan membina kerukunan, agar rakyat
hidup dalam semangat saling menghormati penuh harmoni.
“Rakyat jelata, terutama dalam kalangan berpendapatan rendah
dan miskin, rakyat yang semakin ramai kehilangan pekerjaan dan pendapatan
akibat pandemik COVID-19, jangan dijadikan kancil yang mati tersepit kerana
gajah yang tidak berhenti-henti beradu.
“Doa rakyat yang merasakan diri mereka teraniaya tidak ada dinding untuk
dimakbulkan Ilahi, janganlah rakyat dianiayai kerana dipengaruhi emosi
berdendam dan pemikiran politik yang jumud,” titah baginda.
Justeru, baginda mengingatkan para pemimpin politik bahawa
tanggungjawab dan amanah tidak harus sama sekali dipandang ringan atau
diringankan..