PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mencadangkan lanjutan secara automatik moratorium pembayaran pinjaman bank kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) selama 6 bulan selepas 30 Sept.
Beliau berkata, langkah itu hanya akan menelan belanja RM6.4 bilion dan dapat membantu 8 juta individu dan syarikat Malaysia.
“Ini berbanding dengan pelanjutan secara bersasar moratorium pinjaman bank dan bantuan bank sekarang selepas 30 Sept yang hanya membantu 645,000 peminjam, bersamaan dengan hanya 8% daripada 8 juta peminjam sebelum ini.
“Ini hanya menguntungkan institusi kewangan yang memanjangkan tempoh pembayaran pinjaman, seterusnya menyebabkan peminjam perlu membayar jumlah bayaran faedah yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Lim berkata industri perbankan mencatatkan keuntungan sebanyak RM32 bilion pada tahun 2019 walaupun dilandai krisis Covid-19.
Katanya, pada tahun ini bank terus mencatatkan keuntungan tanpa sebuah pun yang mengalami kerugian.
Dalam pada itu, Lim berkata pakej rangsangan ekonomi tambahan sebanyak RM45 bilion dalam Belanjawan 2021 amat diperlukan bagi menyelamatkan pekerjaan berikutan kenaikan kadar pengangguran yang tidak dijangka kepada 4.7% dan penguncupan Indeks Pengeluaran Industri (IPI) sebanyak 0.5% pada Okt lalu.
Katanya, penguncupan IPI tahun ke tahun pada Okt sebanyak 0.5% adalah satu kejutan berikutan pertumbuhan 3 bulan berturut-turut pada Julai, Ogos dan September ketika negara menghadapi kesan ekonomi akibat pandemik Covid-19.
“Jelas bahawa pemulihan ekonomi yang diharapkan daripada peningkatan pertumbuhan ekonomi dan perdagangan global terbantut di Malaysia dan semakin kurang kesannya.
“Bukan sahaja IPI menguncup, tetapi terdapat penurunan mendadak dalam pembentukan modal tetap kasar Malaysia sebanyak 11.6% pada suku ketiga tahun ini.
“Penurunan mendadak ini akan memberi kesan buruk kepada keyakinan ekonomi terhadap pertumbuhan masa depan dan merosakkan daya saing Malaysia kerana negara lain di Asia tidak mengalami fenomena yang sama,” katanya.
Lim berkata tambahan RM45 bilion dalam Belanjawan 2021 diperlukan bagi mewujudkan sumber baru pertumbuhan ekonomi dan memperlahankan pemberhentian pekerjaan, kehilangan pekerjaan dan penutupan perniagaan.
“Perlu ada pelaksanaan segera kenaikan bantuan bulanan kebajikan masyarakat daripada RM200-300 menjadi RM1,000, termasuk kepada golongan penganggur yang dijangka mencecah 1 juta rakyat, yang akan menelan belanja RM12 bilion setahun.
“Ini akan menyediakan jaringan keselamatan segera kepada pekerja yang menganggur sepanjang tempoh krisis Covid-19,” katanya.
Lim juga berkata, insentif pengambilan pekerja untuk jangka masa 2 tahun di bawah skim Malaysia@Kerja dengan bayaran RM500 sebulan kepada pekerja dan RM300 kepada majikan bagi mendorong majikan mengambil pekerja tempatan seperti yang dicadangkan oleh Pakatan Harapan (PH) dalam Belanjawan 2020.
Beliau berkata, langkah memperluaskan skim itu untuk merangkumi 600,000 pekerja dan majikan akan menelan belanja RM13 bilion.
“Ini juga dapat membantu lebih daripada 500,000 belia yang menganggur.
“Baki RM4 bilion harus dibelanjakan untuk mendigitalisasikan pendidikan, termasuk membeli komputer riba bagi menyediakan pembelajaran atas talian bagi pelajar yang tidak dapat menghadiri sekolah.
“Bantuan kewangan berjumlah RM10 bilion harus diberikan untuk memberi talian hayat kepada perniagaan baru dan sedia ada, lanjutan pinjaman dan kredit, terutamanya untuk industri pelancongan yang sedang lumpuh,” katanya.