Kartel daging haram yang dibungkus semula dan
dilabel halal masih tidak dapat ditangani secara meyakinkan.
Semakin banyak dalih bahawa
siasatan sedang dijalankan, semakin banyak rakyat yang tidak berpuas hati
dengan kelewatan tindakan dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhubung
identiti syarikat yang terlibat dan status kehalalan daging import di pasaran.
Menurut Exco Pembangunan Usahawan Negeri Selangor,
Rodziah Ismail, daripada kerajaan PN terus berdalih adalah lebih baik mereka
mendedahkan terus pihak-pihak yang terlibat dalam skandal berkenaan.
Kata Rodziah, kartel daging tidak mungkin boleh
beroperasi sedemikian lama sekiranya tidak dibantu oleh kelompok VVIP yang
berkuasa, sehingga daging kangaru dan kuda pun boleh dijual sebagai daging
halal.
"Kita mendesak kerajaan dan kementerian berkaitan
segera menjalankan siasatan rapi, cekap dan telus serta mengheret dalang
pengimport daging sejuk beku dari luar negara ini ke muka pengadilan.
"Lebih serius, isu sindiket kartel daging menjadi
bukti bagaimana rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku dalam kerajaan
melibatkan penjawat awam, adalah amat serius dan memerlukan tindakan agresif
serta proaktif menanganinya. Ia ternyata telah merobek reputasi dan imej
institusi yang diamanahkan memulia dan meningkatkan darjat Islam.
"Oleh itu, kita tidak mahu pihak yang terlibat
dilindungi, termasuk jika ia melibatkan golongan kenamaan dan VVIP. Dedah
sahaja syarikat-syarikat yang terlibat dalam skandal itu," katanya dalam
satu kenyataan.
Rodziah juga mendesak siasatan yang dilengkapkan kelak
didedahkan secara telus kepada rakyat kerana skandal ini melibatkan kepentingan
umum terutama pengguna Islam yang tertipu dengan status daging import halal.
Pendedahan juga, kata Rodziah, akan mendedahkan kartel
yang mengawal harga daging di pasaran agar tidak terus melakukan usaha
mensabotaj harga selepas ini.
"Status oligopoli kartel daging berfungsi
mengawal harga daging dan menjadi halangan terbesar penerokaan pemain industri
baru yang boleh meningkatkan persaingan sihat dan mutu produk serta
perkhidmatan.
"Liberalisasi industri mengimport daging mampu
menurunkan harga daging dan memberi kesan positif kepada para usahawan,"
katanya lagi.
Dalam pada itu, Rodziah turut mencadangkan baik pulih
sistem pengimportan daging yang melibatkan 80% dari keperluan daging negara
agar dilakukan secara holistik berdasarkan Dasar Pertanian Negara
Hal itu, katanya, mestilah diimplementasikan
segera supaya korupsi yang kelihatan menopengi proses dan transaksi pengimpotan
daging dapat dihapuskan