Tangani isu penderaan wanita sepanjang PKPB
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perutusan sempena Hari Antarabangsa Menolak Gejala Keganasan Ke Atas Wanita pada hari ini menyeru agar golongan itu mendapat pembelaan yang lebih komprehensif dalam suasana penghadan aktiviti kaum wanita dan kanak-kanak perempuan di luar, menyebabkan mereka lebih terdedah pada penderaan di rumah.
“Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) telah melaporkan peningkatan gejala seumpamanya di pelbagai negara, terutamanya pada zaman wabak dan ketidaktentuan hari ini.
“Persatuan Perubatan Malaysia turut menggariskan beberapa laporan yang menunjukkan peningkatan gejala penderaan ketika tempoh pengawalan pergerakan yang berpanjangan tatkala mereka berdepan dengan masalah kewangan dan tekanan jiwa yang memuncak.
“Di Malaysia kita kekurangan data atau maklumat bagi mengakses dan menilai gejala ini di mana terdapat banyak kes tidak dilaporkan. Ini menyebabkan kebijakan kerajaan kurang berkesan dan tidak dapat bertindak dan melindungi golongan wanita.
“Kerajaan harus tingkatkan perhatian pada isu ini dan gunakan segala upaya yang ada bagi mengekang atau membendung masalah,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, menurut Anwar lagi, kaum wanita dan kanak-kanak perempuan yang didera mesti diberi perlindungan sewajarnya. Kerajaan, katanya, bertanggungjawab memberi penjagaan yang lebih baik kepada golongan lemah berkenaan.
“Kaum perempuan yang didera juga harus diberi perlindungan yang munasabah agar trauma (penderaan) dapat dirawat dan diberi perhatian secukupnya.
“Kerajaan harus ambilkira dan beri perhatian serius pada gejala ini, dan fikirkan langkah yang lebih proaktif bagi melindungi kumpulan warga yang paling terdedah ini,” katanya.
Baru-baru ini, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) berkata berlaku peningkatan sebanyak 14 peratus bilangan panggilan dan aduan menerusi WhatsApp berhubung kes keganasan rumah tangga membabitkan wanita sepanjuang tempoh PKP pada Mac lalu.
Menurut pertubuhan itu, peningkatan kes berlaku berikutan mangsa dan pelaku mempunyai lebih banyak masa berada di rumah susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Mangsa penderaan dinasihatkan menghubungi Talian Bantuan WAO di 03-7956 3488 atau menghantar WhatsApp kepada 018 988 8058.