Muhyiddin Yassin perlu bertindak cepat, sekiranya beliau mahu terus menerajui negara sebagai Perdana Menteri dengan bekerjasama dengan semua pihak termasuk pembangkang dalam menghadapi pandemik Covid-19.
Ahli Dewan Negara, Liew Chin Tong berkata, tindakan itu termasuk menggesa Mohamed Azmin Ali dan Hamzah Zainuddin meletak jawatan kerana telah mengundang pelbagai ‘huru-hara’ politik di negara ini.
Jelasnya, dua pemimpin itu sebenarnya bertanggungjawab dengan apa yang berlaku kepada kerajaan Muhyiddin pada masa ini, malah tindak-tanduk serta nasihat mereka telah mengganggu proses demokrasi berparlimen.
“Saya sudah cakap sejak sesi Parlimen pada 18 Mei lepas, Muhyiddin sepatutnya berhenti berharap dan percaya bulat-bulat kepada Hamzah dan Azmin.
“Hamzah sendiri seperti tidak faham realiti politik hari ini yang tidak lagi seperti dulu yang hanya berasaskan satu parti politik sahaja,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, Hamzah kini masih lagi cuba berusaha mengembalikan pemerintahan satu parti dengan anggapan Muhyiddin memiliki majoriti dua pertiga di Parlimen.
“Antara Mac sehingga Mei pula, Hamzah cuba membeli Ahli Parlimen dari pembangkang.
“Tidak ramai pun yang menerima pelawaan menyeberang dengan majoriti tipis itu, jangkaan kononnya ramai akan lompat sebenarnya sangat kurang bijak.
“Malah selama lebih setengah tahun, pencapaiannya hanya sekadar Ahli Parlimen Lubok Antu sahaja yang melompat ke sana,” jelasnya yang juga Pengerusi DAP Johor.
Tambahnya lagi, keputusan menggantung Parlimen dan darurat ini bukanlah sesuatu yang baharu beberapa hari berlaku.
Sebaliknya, kata beliau, dia sudah tahu sejak beberapa minggu yang lepas.
“Tapi apa yang mengejutkan saya apabila Muhyiddin meneruskan juga ‘idea’ tersebut dan mempersembahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong pada Jumaat lepas.
“Beliau terus membuat kesilapan demi kesilapan dengan keputusan mengejutkan darinya, bermula daripada menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan.
“Hamzah juga merupakan arkitek rampasan kuasa yang gagal pada Oktober 2019 (yang berusaha memecat DAP dan Amanah dari PH) yang juga bersekongkol dengan Azmin Ali dan Hishammuddin Hussein.
“Dia juga merupakan penggerak utama Langkah Sheraton, dibantu oleh Azmin,” ujarnya.
Tegas Chin Tong, kini sekiranya Muhyiddin berhasrat untuk terus ke hadapan, beliau perlu menerima hakikat dirinya bukanlah menerajui sebuah kerajaan dengan majoriti dua pertiga atau pemerintahan satu parti dominan sahaja.
Sebaliknya, tanggungjawab serta peranan Muhyiddin adalah mewujudkan permuafakatan antara sekutu dan meminta muhibah dengan pembangkang lagi-lagi dalam melawan pandemik ini.
“Henti aniaya pembangkang, beliau perlu menjadi Perdana Menteri untuk semua dan bukannya untuk parti Bersatu sahaja.
“Bukan pembangkang sahaja yang gusar, malah sekutunya UMNO sendiri juga gusar.
“Untuk ini, Muhyiddin perlu meminta Hamzah dan Azmin meletak jawatan dari Kabinet, dan bertanggungjawab terhadap semua keputusan serta nasihat yang telah mereka lakukan termasuklah menasihati YDPA dan menyebabkan keadaan politik yang huru hara.”