GUNAKAN PAMPASAN GOLDMAN SACHS UNTUK TEBUS BOND 1 MDB

Usaha Pakatan Harapan dalam isu 1MDB telah berjaya membuahkan hasil, di mana sejumlah besar dana yang diseleweng ketika zaman Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib Razak telah dibawa kembali ke Malaysia.
Namun, usaha ini tidak harus terhenti di sini. Sebelum ini, Malaysia telah memperolehi US$620 juta (RM2.6 bilion) daripada Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat.
Terbaru, bank pelaburan Goldman Sachs bersetuju membayar pampasan bernilai US$3.9 billion (RM16.6 bilion). Bayaran ini menunjukkan pendedahan skandal kleptokrasi ini selama ini adalah berasas dan bukan tohmahan.
Justeru, jumlah ini harus digunakan secara telus untuk menebus 3 bon 1MDB yang akan tamat tempoh pada 2022 dan 2023.
Malaysia harus membayar US$3.5 bilion (RM15 bilion) pada tahun 2022 untuk menebus 2 bon, dan US$3 bilion (RM12.8 bilion) pada 2023.
Penebusan bon-bon ini sangat mustahak supaya Malaysia tidak lagi terbeban dengan bayaran faedah setiap tahun. Untuk 3 bon ini sahaja, Malaysia membayar faedah sebanyak US$338.66 juta (RM1.44 bilion) setiap tahun.
Ini tidak termasuk bayaran faedah tahunan RM287.5 juta untuk sukuk 1MDB yang tamat tempoh pada 2039. Inilah hasil peninggalan kerajaan Najib Razak untuk rakyat Malaysia.
Memandangkan 1MDB adalah milik penuh kerajaan Malaysia, maka kegagalan 1MDB melunaskan hutangnya akan memberi impak terus kepada negara.
Justeru, kedudukan kewangan syarikat ini harus terus dipantau dan ditadbir dengan telus.
Saya menggesa agar Kerajaan Perikatan Nasional terus melaporkan status terkini dana 1MDB yang dipulangkan dan keadaan liabiliti syarikat tersebut seperti yang telah dilaporkan oleh Pakatan Harapan sebelum ini dalam Tinjauan Fiskal 2020.
Rakyat berhak mengetahui perkembangan isu ini secara terbuka dan telus.
Siasatan dan pendakwaan berhubung skandal mega ini hendaklah diteruskan dan dilengkapkan terutama terhadap Najib Razak yang didakwa terlibat dalam penyelewengan wang 1MDB ini termasuk penerimaan wang berjumlah US$681 juta (RM2.6 bilion) hasil urusniaga 3 bon haram yang diatur Goldman Sachs ini.
FAIZ FADZIL
26 Julai 2020