Salam & Sejahtera Semua.
Satu Penjelasan:
1. Sangat malang cubaan Yang Berhormat Menteri Kesihatan, menyalahkan Kerajaan PH yang kononnya gagal membendung Kluster Tabligh yang mengakibatkan penularan COVID-19. Benar Kluster Tabligh, akhirnya menyumbangkan 40% dari seluruh kes positif di negara ini.
2. Untuk meletakkan rekod yang tepat, perhimpunan di Masjid Seri Petaling itu bermula pada 28 Februari dan berakhir 3 Mac.
3. 24 Februari Tun M meletakkan jawatan sebagai PM ini menyebabkan Jemaah Menteri juga melepaskan jawatan dan Tun M seorang dilantik sebagai PM interim. Hari terakhir saya berada di KKM adalah pada 24 Februari seperti bukti kicauan Tweet saya (yang mendapat 48.1K likes dan 38.5K RT).
4. Pada 8 April lalu, KP Kesihatan dalam rakaman video sidang akhbarnya, mengesahkan kesiapsiagaan awal KKM bermula pada Disember 2019 di bawah Kerajaan PH dan saya sebagai YBMK dipertanggungjawab mengawal wabak covid19 ini, bersama-sama kepimpinan KKM. Saya bertanggungjawab melaporkan kepada YAB PM & Jemaah Menteri pada setiap hari mula Mesyuarat Kabinet sejak bermula kes pertama pada 24 Januari 2020.
5. Nah, kalaulah ada Menteri yang lebih memaklumi kedudukan perkara perhimpunan Tabligh ini, pastinya beliau itu ialah Menteri KDN, yang sekarang ini ialah Perdana Menteri ke-8. YBMK wajar bertanya beliau kalau ingin tahu letak duduk dakwaannya bahawa kerajaan PH gagal mengawal perhimpunan tabligh. Mungkin sahaja YAB PM-8 tidak perasaan, kerana ada agenda lebih serius yang mengganggu tumpuan kerja beliau ketika itu.
4. Sesungguhnya, sangat mengecewakan, fokus mengurus krisis COVID-19 telah di'hijack' dengan keberantakan 'Sheraton Move' atau 'Langkah Sheraton'.
5. Pada 29 Febuari TSMY dilantik sebagai Perdana Menteri dan mengangkat sumpah pada 1Mac dan hanya dapat menubuhkan sebuah Kabinet pada 9hb Mac, sekaligus menyebabkan lebih dari 2 minggu pengurusan COVID-19, tidak punya kepimpinan politik dan strategik berbanding sebelumnya. Tidak dapat dinafikan kepimpinan KPK adalah cemerlang dalam saat 'Hari-Hari Kegelapan Politik Malaysia' itu.
6. Justeru, saya ingatkan Menteri Kesihatan supaya segera berhenti 'berpolitik' dalam suasana negara berdepan krisis COVID-19 ini, tambahan pula dalam tempoh lanjutan PKP ketika ini.
7. Lebih konstruktif seandainya beliau benar-benar menguasai realiti cabaran getir yang dihadapi negara mutakhir ini dengan menampilkan kepimpinan YB dengan mengesyorkan, antara lainnya:
A. Pemikiran dan cadangan yang jelas dan tuntas, Bagaimana 'Satu Exit Strategy' mampu diolah dengan pendekatan yang berteraskan 'Data and Evidence' guna membimbing PM & Kabinet, membuat langkah-langkah 'Penamatan PKP/MCO Bertahap-Berfasa' ke depan nanti.
B. Membimbing Kabinet dalam isu menangani 'Kajian lmmuniti' atau 'Sero-Surveillance' bagi mengenal pasti 'tahap infeksi dalam negara-komuniti', bagi merancang secara konkrit, 'Penamatan PKP' serta mengorak langkah untuk 'Jump Start The Economy'. Amat parah ramalan MIER yang mengunjurkan rakyat yang akan kehilangan 2.4 juta pekerjaan serta mengalami pertumbuhan negatif - 2.9% KDNK.
C. Menangani dan menyelesaikan tuntutan pembuatan PPEs (contoh gowns, face shields, plastic aprons, boots dan penutup kepala) serta pengedaran secara meluas dan seimbang, khasnya untuk 'Frontliners' samada untuk warga KKM serta seluruh 'sukarelawan dari pihak Swasta dan NGOs.
Sekali lagi saya menyeru semua pihak Kerajaan dan Pembangkang serta Swasta dan NGOs, supaya bersama menggembleng tenaga, dana dan kepakaran untuk segera mengurus seterusnya krisis COVID-19 dengan pendekatan yang lebih berkesan, bertanggungjawab, telus dan berintegriti.
Semoga Rakyat & Negara dilindungi AlLah Azza Wajalla..Amin.
*DR ZULKEFLI AHMAD*