PENDIRIAN UMNO TIDAK BERSAMA BERSATU, UMPAMA SOKONGAN TERHADAP MAHATHIR



Kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan yang mengesahkan parti itu akan meninggalkan Perikatan Nasional sebaik Parlimen dibubarkan dan hanya akan bersama Pas dalam Muafakat Nasional untuk menghadapi PRU15 akan datang, tidak ubah umpama sokongan terbuka kepada kem Tun Mahathir Mohamad dalam pemilihan Bersatu akan datang.
Seperti yang kita sedia maklum, Bersatu kini terpecah dua dengan satu kumpulan memihak kepada Tun Mahathir selaku Pengerusi, manakala satu pihak lagi bersama Muhyiddin sebagai Presiden dan juga Perdana Menteri.
Dalam pemihan Bersatu yang bakal diadakan tidak lama lagi, mungkin Julai atau Ogos berikutan arahan Pendaftar Pertubuhan bahawa parti-parti politik hanya dibenar mengadakan perhimpunan selepas 30 Jun disebabkan wabak Covid-19, kedudukan Muhyiddin bakal dicabar oleh Mukhriz Mahathir.
Walaupun Mukhriz hanya Menteri Besar Kedah berbanding Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, tetapi di belakang Mukhriz ialah Tun Mahathir yang dipercayai ramai kali ini bukan saja bertindak sebagai pengurus kempen, malah akan menjelajah ke seluruh negara memastikan kemenangan anaknya itu.
Setelah beliau menang tanpa bertanding sebagai Pengerusi, kemenangan Mukhriz bagi jawatan Presiden adalah mustahak untuk memastikan kawalan penuhnya terhadap Bersatu.
Matlamat Tun Mahathir mahu menguasai Bersatu ialah untuk menyelamatkan parti itu daripada terus bersekongkol dan diperalatkan oleh UMNO yang sudah pun ditewaskan dalam PRU14 lalu.
Bagi Tun Mahathir, membawa semula Bersatu bekerjasama dengan UMNO adalah suatu pengkhianatan kepada parti itu.
Apabila Mohamad Hasan atau Tok Mat mengesahkan kerjasama mereka dalam PN dan dengan Bersatu hanya sehingga Parlimen dibubarkan saja dan tidak dalam menghadapi PRU15, ini bermakna kedudukan Bersatu dengan sendirinya jadi tidak menentu dalam pilihanraya nanti.
Sementara UMNO dan BN hanya mahu bekerjasama dengan Pas untuk berlawan dengan PH yang didalamnya ada PKR, DAP dan Amanah, Bersatu dalam PRU15 akan datang tidak ubah ibarat kancil yang bakal mati di tengah-tengah perkelahian dua gergasi.
Dalam erti kata lain, jika Bersatu terus dikuasai oleh Muhyiddin, parti itu dengan penuh kesedaran sedang menuju jalan mati.
Hanya jika Bersatu dapat dikuasai semula oleh Tun Mahathir saja parti itu punya harapan masa depan iaitu dengan kembali semula ke pangkuan PH.
Bermakna sekarang ini, pengesahan Tok Mat bahawa UMNO hanya mahu bekerjasama dengan Pas dan akan mengenepikan Bersatu, harapan untuk Tun Mahathir untuk menguasai semula Bersatu dalam pemilihan nanti adalah lebih cerah.
Pemimpin-pemimpin Bersatu yang memikirkan kedudukan jangka panjang dan ingin terus bergelar YB selepas PRU akan datang pasti tidak akan teragak-agak memberi sokongan kepada Mukhriz berbanding Muhyiddin.
Mereka kini sedar hanya dengan penguasaan semula Tun Mahathir terhadap Bersatu saja memungkinkan mereka ada masa depan yang lebih panjang dalam kerjaya politik masing-masing.
Terus bersama Muhyiddin, jangka hayat politik pemimpin Bersatu hanyalah sehingga tahun 2023 saja, malah jika usul undi tidak percaya berjaya dikemukakan, sebelum akhir tahun ini juga titik penamat untuk karier mereka sudah tiba. (ShahbudinHusin 27/04/2020)



No comments: