Pengundi muda bakal ubah landskap politik Malaysia pasca PRU15, kata penyelidik



Pengundi muda bakal ubah landskap politik Malaysia pasca PRU15, kata penyelidik
Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim meramalkan pengundi muda bakal merubah landskap politik Malaysia pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Kata beliau, seramai 14.9 juta pemilih layak mengundi dalam PRU14 lalu melalui sistem layak mengundi umur 21 tahun dan pendaftaran secara manual, justeru, jika PRU15 diadakan pada tahun 2023, dijangka seramai 22.7 juta pemilih akan layak mengundi melalui sistem Undi 18 dan pendaftaran automatik.
“Penambahan pengundi baru melebihi 50 peratus ini berpotensi besar untuk merubah lanskap politik Malaysia pasca PRU15 nanti,” kata beliau menerusi laman sosialnya.
Ujar beliau, sehingga kini tiada mana-mana parti yang boleh mendakwa mereka mempunyai kelebihan untuk menarik sokongan pengundi yang akan mengundi kali pertama ini.
Ini katanya, adalah kali pertama kita memberi ruang kepada pengundi bertaraf remaja untuk memilih pemimpin negara, tingkah laku pengundian dan corak sokongan mereka belum diketahui.
Sehubungan itu tambah beliau, parti yang berjaya menarik sokongan kumpulan pemilih yang akan mengundi kali pertama nanti akan memperolehi keuntungan besar, bahkan berpeluang memenangi kerajaan persekutuan dan negeri-negeri.
“Namun untuk mendampingi anak-anak era milenia ini tidak mudah juga, mereka mempunyai corak komunikasi dan karakter yang berbeza berbanding generasi sebelumnya.
“Bagaimana parti-parti politik mengatur strategi dan medium kempen akan mempengaruhi sokongan mereka, situasi yang sangat menarik untuk diperhati dan dianalisis,” kata beliau.