Rakyat tolak politik berlebihan, fokus ekonomi – Ronnie Liu
Pelbagai khabar angin mengenai terbentuknya kerajaan baharu Pakatan Nasional dan sokongan kepada PM Tun Mahathir meneruskan pemerintahan sehingga hujung penggal memerlukan Majlis Presiden Pakatan Harapan memutuskan tarikh peralihan kuasa yang jelas dalam mesyuarat yang akan datang.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi DAP, Ronnie Liu berkata, hal itu penting kerana politik berlebihan menyebabkan rakyat bosan dan ekonomi negara seolah-olah terumbang ambing dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Ronnie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Selangor menegaskan isu tarikh perlu dititik beratkan agar satu peralihan kuasa yang lancar dan sempurna berlaku.
“Buat masa sekarang, rakyat mahukan isu ekonomi dan pembangunan didahulukan serta kawalan harga barang dilaksanakan dengan baik serta kos sara hidup diturunkan.
“Rakyat juga inginkan satu kerajaan yang berprihatin dan memberi tumpuan kepada semangat keharmonian dan perpaduan. Semua lapisan masyarakat kecuali yang berniat jahat sudah bosan dan jemu dengan isu agama dan isu perkauman yang dimainkan oleh puak-puak rasis yang tamakkan kuasa.
“Undang-undang yang zalim mesti dimansuhkan selain dari janji-janji dalam manifesto PRU14 mesti ditepati.
“Kita wajar ada satu reformasi yang tulen dalam era Malaysia Baru dimana kepentingan rakyat harus diberi keutamaan dan era rasuah, ketirisan dan penyalahgunaan kuasa ditamatkan dengan serta-merta,” katanya.
Menurut Ronnie, kerajaan PH masa kini belum lagi mencerminkan Malaysia Baru dengan sempurna. Namun sekiranya majoriti rakyat bekerjasama PH akan berjaya membinanya, di mana pegawai dan pemimpin kerajaan akan memberi perkhidmatan yang baik dan melayan rakyat dengan penuh hormat dan berbudi-bahasa.