Pas laksana strategi adu-domba lemahkan PH – Dr Mazlan Ali
Cadangan Pas mahu melakukan undi percaya pada sesi Parlimen Mac ini bukan bertujuan untuk menguatkan Tun Mahathir sebagaimana yang didakwa tetapi usaha terancang ingin menghuru-harakan kerajaan Pakatan Harapan
Hal itu, menurut penganalisis politik amat jelas kerana Pas banyak kali tidak menyokong tindakan kerajaan seperti rantifikasi ICERT, statut Rom dan hujung tahun lalu berkecuali dalam meluluskan Belanjawan 2020 serta menolak menyokong mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai wilayah autonomi penuh.
Penganalisis politik Dr Mazlan Ali berkata, kelihatan Pas lebih mahu melaga-lagakan parti komponen Bersatu, PKR, DAP dan Amanah supaya lebih lemah menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.
“Jika mereka boleh menyakinkan Dr Mahathir untuk terus berkuasa melebihi dua tahun, ia akan memecah belahkan PH. Mereka tak mahu Anwar ambil alih kerana presiden PKR itu berupaya mengembalikan sokongan kepada PH.
“Pas mahu PH jadi lemah kerana ia akan memberi manfaat kepada parti pembangkang seperti mereka
“Jika PAS benar-benar menyokong Dr Mahathir, mengapa mereka berkempen menentang PH pada semua pilihan raya kecil sebelum ini?” katanya dipetik The Malaysian Insight
Pas kini menjalinkan kerjasama dengan Umno menerusi Muafakat Nasional. Umno masih menerajui Barisan Nasional yang kini terdiri daripada MCA dan MIC.
Parti Islam ultra konservatif itu berkempen menentang kerajaan PH yang diterajui Dr Mahathir, malah ia juga turut melawan kebanyakan dasar dibuat kerajaan pemerintah sekarang.
Namun Sabtu lalu Pas mahu mengusulkan undi percaya menggesa Dr Mahathir terus berkhidmat sehingga habis penggal lima tahun dan tidak menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar.
Penganalisis politik, Tunku Mohar Tunku Mokhtar pula berkata bukan hak Pas untuk menentukan bakal perdana menteri kerana ia terpulang kepada keputusan parti pemerintah.
“Orang dalam PH yang akan memutuskan siapa PM,” kata Mohar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
“Mereka cuba menangguk air keruh dalam PH kerana mereka tahu ada kumpulan dalam PH yang mahukan Dr Mahathir terus berkuasa.”
Profesor James Chin dari Universiti Tasmania pula berkata Pas cuba membentuk kerajaan baharu dengan memujuk Dr Mahathir terus berkuasa.
“(Presiden Pas) Abdul Hadi Awang taksub mahu menyingkirkan DAP dan Anwar daripada kerajaan dan cuba menubuhkan kerajaan Melayu sahaja atau ‘Islam dahulu’.”
Hadi secara terbuka berkata beliau berminat mahu menubuhkan kerajaan dominasi orang Islam terdiri daripada PAS, Umno dan Bersatu yang diterajui Dr Mahathir, walaupun pada masa sama PAS sudah membentuk kerjasama dengan Umno.
Pendirian politik yang bercanggah ini sering berlaku dalam kepimpinan Hadi, kata Chin.
Sebelum ini, PAS pernah berkata mereka akan menerima orang bukan Islam sebagai warga Malaysia, kata Chin lagi.
“Tetapi, mereka juga pernah kata orang Islam adalah warga kelas pertama dan orang bukan Islam warga kelas kedua. Dalam pemikiran mereka ini bukan percanggahan kerana mereka menggunakan konsep ‘dhimmi’ untuk berbincang tentang isu bukan Islam,” tambah Chin, merujuk kepada terma digunakan untuk orang bukan Islam ketika zaman kegemilangan tamadun Islam.
PAS juga melihat Anwar sebagai ancaman kerana ahli Parlimen Port Dickson itu menerajui PKR- sebuah parti berbilang kaum yang menolak pendirian agama PAS atau nasionalisme perkauman.
“Pokok pangkalnya adalah PAS menganggap PH sebagai ‘kerajaan tak hala’ yang perlu disingkirkan dan digantikan dengan ‘kerajaan halal’ yang meletakkan semua orang Islam di jawatan utama.
“Pendek kata, PAS di bawah Hadi Awang rasis kepada orang bukan Melayu dan bukan Islam.”