NAMA RAFIZI MASIH DISEBUT DI MERATA-RATA



Apabila Sdr Rafizi mengumumkan untuk 'berehat' dari politik, ramai yang tidak bersetuju termasuk saya sendiri.  Sesiapa pun yang mengikuti perjuangan anak muda Pengasas INVOKE ini sebelum PRU14 sudah pastinya sependapat dengan saya.

Setelah menghabskan banyak masa, idea, tenaga dan wang ringgit bagi membenamkan rejim Umno/Bn, Alhamdulillah, akhirnya kerajaan Kleptokrasi tumbang tanpa disangka2 pada Mei 2018.  Kerajaan kleptokrasi itu tumbang bukan kerana "Deklarasi Rakyat" tetapi momentum reformasi yang berterusan semenjak 1998 yang terus dinyalakan oleh Sdr Rafizi dan dibawa ke pelusuk tanahair.  Memang benar, bukan beliau seorang sahaja yang berjasa kepada kemenangan PH tetapi aturcara, strategi dan perancangannya yang begitu sistematik dan profesional telah menjadi salah satu penyumbang besar kepada kemenangan PH.  Bayangkan , di kawasan felda atau pendalaman yang tidak terfikir oleh kita untuk menang, jelajah INVOKE telah memberikan kesan di situ.  Di mana Umno/Bn kuat, di situ lah INVOKE bersama Rafizi akan bertandang.

Malangnya, setelah kita menang dan menguasai Putrajaya, Sdr Rafizi mengambil keputusan untuk 'berehat' dari politik.  Kita terpaksa juga akur walaupun amat berat untuk melepaskannya.  Bagi Rafizi, tugasnya telah selesai iaitu Umno/Bn telah tercampak keluar dari Putrajaya.  Beliau perlu meneruskan kehidupannya untuk mencari sesuap nasi menyara keluarganya.  Beliau bukan Wakil Rakyat lagi jauh sekali seorang Menteri atau Timbalan Menteri yang kini dapat merasa duduk di kerusi empuk dengan gaji dan elaun puluhan ribu sebulan.  Kita harus terima hakikat itu.

Apakah beliau terus melupakan rakyat apabila 'berehat' dari politik?  Tidak.  Meskipun beliau kini beralih ke arah kerjaya yang tiada kaitan dengan politik, namun beliau mewujudkan satu syarikat bagi membantu warga Malaysia yang sedang mencari kerja di mana beliau sendiri sebagai CEO Adnexio.  Ikuti website di http://www.adnexio.jobs  Ertinya, bukan dibidang politik sahaja kita boleh berkhidmat kepada rakyat.

Walaupun hampir dua tahun kita tidak lagi mendengar pidato politiknya, namun nama Rafizi Ramli masih segar di mana2.  Di dalam ucapan pimpinan2 yang pro Anwar Ibrahim, mereka tidak boleh lari dari menyebut nama tokoh muda ini.  Meskipun Sdr Rafizi Ramli dikenali sebagai pro Anwar, namun beliau bukan penyokong tegar kepada bakal PM ke 8 itu.  Beliau sering tidak sependapat dengan Anwar di dalam beberapa perkara tetapi beliau tidak sampai ke tahap 'menderhaka' atau "biadab" dengan tokoh reformasi itu.  Banyak juga teguran dari Sdr Rafizi kepada Anwar itu akhirnya benar.  Buktinya, kita lihat sekarang apa yang telah berlaku di dalam Keadilan di mana yang telah menumpang nama Anwar untuk naik ke atas, kini menjadi penentang kepada Anwar. 

Sewajarnya, apabila Rafizi berehat dari politik, akan ada tokoh lain menggantikannya.  Malangnya, tiada.  Mungkin kerana telah menjadi kerajaan maka tidak perlu lagi bekerja kuat seperti yang Rafizi lakukan dulu.  Salah satu sebab Rafizi berehat adalah untuk memberi peluang tokoh muda lain untuk menonjol, malangnya harapan ini tidak menjadi kenyataan.  Sebab itulah, rakyat di bawah masih menyebut nama Rafizi dan merinduinya.

Saya, dan mungkin ramai di luar sana masih mengharap Sdr Rafizi akan kembali ke persada politik negara ini.  Anwar sudah berusia dan beliau perlu kepada penggantinya suatu hari kelak.  Tiada tokoh lain yang hebat dan mempunyai aura seperti Anwar, melainkan Rafizi.  Kita merayu beliau kembali dan kita yakin darah pejuang yang mengalir dalam tubuh anak muda ini tidak akan terhenti di sini. 

WFAUZDIN NS